Wednesday, December 21, 2011

Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak

Pemerolehan Bahasa Kanak-kanak Berusia Dua Tahun Dan Empat Tahun:
Satu Tinjauan

1.0 Pengenalan
Sebagaimana diketahui umum, pertumbuhan bahasa kanak-kanak meliputi tiga komponen iaitu sintaksis, fonologi dan semantik.Walau begitu, perbahasan mengenainya selalu dipisah-pisahkan untuk memudahkan pemahamannya. Peringkat fonologi pula lebih kepada pengeluaran bunyi bahasa yang bermakna kepada kanakkanak. Dengan berinteraksi dengan kedua ibu bapanya melalui bunyi-bunyi tertentu dan membabel, seseorang bayi itu sebenarnya sudah mula mencipta bahasa untuk berkomunikasi pada usia akhir satu tahun (Mei-Yu 2000). Manakala peringkat semantik pula ialah peringkat di mana kanak-kanak mula memahami maksud ayat ujarannya atau ayat-ayat yang diterimanya.

Pertumbuhan sintaksis bermula pada waktu seseorang kanak-kanak mulai menerbitkan ayat-ayat yang terdiri daripada dua kata atau lebih. Pada umumnya kanak-kanak mulai menggabungkan dua kata pada umur menjelang dua tahun. Pada permulaan usia dua tahun, perkataan pertama bagi kanak-kanak akan muncul. Peringkat ini dipanggil peringkat “holofrasa” kerana perkataan yang dikeluarkan oleh kanak-kanak biasanya terdiri daripada satu atau dua patah perkataan mudah dalam satu masa. Bagi mereka ujaran satu perkataan tersebut seolah-olah mewakili makna keseluruhan ayat yang lengkap (Shaffer 1999).
Mengikut Barret (1985) pada kebiasaannya pada tahap ini kanak-kanak lambat menghasilkan perkataan. Tetapi apabila mereka memperoleh lebih daripada sepuluh patah perkataan, kanak-kanak tersebut mula menambah perkataan baru dengan kadar yang cepat atau dipanggil “ledakan perbendaharaan kata” (vocabulary spurt). Pada usia dua tahun kanak-kanak mula menggabungkan perkataan untuk menghasilkan ayat (Bukatko & Daehler 1995).

Perkataan pertama kanak-kanak biasanya sangat berbeza daripada sebutan perkataan orang dewasa, dan perkataan-perkataan awal tersebut kebanyakannya kerap kali tidak jelas dan hanya terhad kepada nama-nama objek, orang atau perkara-perkara tertentu sahaja (Bukatko & Daehler 1995).
Mengikut Berk (2000) ayat-ayat awal kanak-kanak mempunyai perkataan-perkataan asas seperti yang digunakan dalam telegram, iaitu hanya menggunakan kata nama dan kata kerja dengan mengabaikan kata fungsi, kata penentu, kata gantinama diri, kata gantinama penunjuk dan kata kerja bantu. Meskipun ayat pertama kanak-kanak tidak mempunyai tatabahasa sebagaimana pertuturan orang dewasa, tetapi mereka jauh lebih banyak menggabungkan rangkaian perkataan biasa.
Mengikut Braine (1976) ujaran mereka mempunyai struktur ayat yang tersendiri iaitu terdiri daripada beberapa perkataan yang digelar “kata paksi” yang digunakan dalam posisi tetap, dan digabungkan dengan perkataan yang jarang digunakan yang dirujuk sebagai “kata bebas” dan mudah digantikan dengan perkataan-perkataan lain.

a) Latar belakang kajian tentang pemerolehan bahasa

Kajian tentang bahasa kanak-kanak telah dibuat sejak lebih daripada empat puluh tahun yang lalu, bermula dengan kajian Chomsky, melalui bukunya Syntatic Structure (1957). Selepas itu diikuti oleh banyak kajian lain seperti Brown (1965), Langaker (1968), Burling (1970), MacNeil (1970), Slobin (1971), Fishman (1970) dan lain-lain.
Kajian-kajian tersebut meliputi pelbagai aspek yang mempengaruhi pemerolehan dan perkembangan bahasa kanak-kanak termasuklah pengaruh persekitaran. Di negara kita, kajian tentang pemerolehan bahasa juga telah lama dibuat. Kajian-kajian tersebut lebih bersifat umum, tidak spesifik sebagaimana yang telah dibuat di barat. Antara kajian yang telah tersebut ialah Mangantar Simanjuntak (1983), sebelum itu pada tahun 1963 Atan Long telah membuat kajian tentang perbendaharaan kata bahasa Melayu kanak-kanak prasekolah. Selain itu ada juga kajian lain seperti Mangantar Simanjuntak (1987), Zulkifley Hamid (1990), Abdul Rashid Ali (1992) dan Puteri Roslina Abdul Wahid (1999). Perbezaan yang ketara dalam kajiannya ialah bayi-bayi yang diamatinya tidak pernah melalui peringkat penyempitan erti kata sebagai yang biasa dilaporkan dalam pemerolehan semantik bahasa lain. Kajian-kajian juga dibuat oleh ahli-ahli psikolinguistik tempatan yang terkemudian juga masih bermirip kepada kajian-kajian yang terdahulu. Mangantar (1990) dalam kajiannya tentang pertumbuhan bahasa Melayu oleh bayi Melayu mendapati kajiannya sama seperti yang diperolehi oleh Clark (1973; 1977) dalam teorinya yang disebut hipotesis ciri semantik.






b) Objektif Kajian
Antara objektif utama kajian ini adalah:
a) memerhati dan melaporkan penghasilan bahasa kanak-kanak yang berusia lebih daripada setahun dari segi penerimaan (receptive).
b) memerhati dan melaporkan penghasilan bahasa kanak-kanak yang berusia lebih daripada setahun dari segi pengeluaran (productive).

c) Definisi operasioanal
Kajian ini merupakan satu kajian kes tentang pemerolehan bahasa kanak-kanak dari aspek ‘penerimaan’ dan ‘pengeluaran’. Di mana “penerimaan’ dan ‘pengeluaran’ adalah dua ciri penting dalam medium bahasa lisan. Kajian tentang penguasaan bahasa kanak-kanak ini berpusat kepada penguasaan tatabahasa rumus ayat yang dikatakan tidak sama dengan sistem orang dewasa.



d) Skop Kajian
Skop kajian dalam kajian ini ialah seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk sebagai Muhamad Amjad (MA) berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Haziq (MH) berusia 4 tahun. Kedua-duanya berketurunan Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu dialek Terengganu sebagai bahasa ibundanya. Muhammad Haziq terlalu suka menonton rancangan kartun. Oleh itu banyak bahasa dan dialet hariannya menggunakan bahasa Melayu betul tetapi sebutannya banyak dipengaruhi bahasa rancangan kartun. Mungkin pengaruh rancangan kartun kesukaannya.

2. Kaedah Pungutan Data
Pungutan data yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah pemerhatian dengan menggunakan rakaman pertuturan. Proses pengukuran berlaku dalam tiga situasi iaitu situasi pertama rakaman pertuturan MA dan abangnya MH sewaktu mereka menonton televisyen.Rancangan kesukaan dua beradik ini iaitu ‘Tom and Jerry”. Situasi kedua pula berlaku semasa bermanja dan bermain dengan bapanya (AA). Dan situasi ketiga berlaku semasa waktu mereka berdua leka bermain sambil membelek buku. Kaedah pengukuran yang digunakan adalah berasaskan ‘mengenal gambar’ (picture identification). Mengikut Bryen & Gallagher (1991) strategi ini digunakan dengan meluas sebagai ujian yang standard untuk menguji kefahaman kanak-kanak kecil.

3. Persembahan dapatan kajian dan perbincangan
Ujaran yang diperoleh melalui rakaman diberi transkripsi dalam ejaan fonemik dalam bentuk ortografik. Semua ayat yang ditutur semasa dialog dikategorikan ke dalam dua bahagian iaitu ayat yang difahami (receptive) dan kedua, ayat-ayat yang dihasilkan melalui ujaran yang dikeluarkan (productive). Ayat tersebut bolehlah dianalisis dari segi bentuk dan masalah pemahaman. Fungsi bahasa pada peringkat kanakkanak lebih penting daripada sistemnya, analisis ini lebih berpusat kepada maksud yang hendak disampaikan oleh SF dengan melihat kepelbagaian cara yang digunakan (Dale 1970; Halliday 1975), umpamanya dengan memerhatikan tekanan suara dan hubungan makna (semantic relation) dan susunan kata (word order) yang hadir dalam ayat-ayat yang telah dituturkan oleh mereka. Kebanyakan perkataan yang telah dituturkan oleh MA dan MH sangat dipengaruhi oleh rancangan kartun kerana mereka berdua sangat suka menonton rancangan kartun.

3.1 Ayat-ayat Bentuk Pengeluaran (Productive)
Ayat-ayat (dalam bentuk ujaran) jenis pengeluaran (produktif) ialah ayat-ayat yang diujarkan oleh MH dan diterima oleh orang lain. Pertamanya ialah ciri-ciri ayat. Keduanya masalah memahami ayat-ayat yang pelbagai itu. Kanak-kanak belajar dengan bertahap-tahap melalui interaksi sosial yang disebut oleh Hymes (1971) sebagai “kebolehan komunikatif (communicative competence) (Cazden 1972). Daripada ayat-ayat ujaran MH yang dikumpulkan didapati MH berada pada Fasa Peralihan. Pada dasarnya, banyak ayat yang dikeluarkan terdiri daripada pola satu kata, dua kata dan tiga kata ataupun lebih. Unsur-unsur bahasa matetik iaitu bahasa untuk belajar didapati dominan pada MH seperti menggunakan bahasa untuk memberi nama (naming), menyatakan tujuan atau hasrat dan bahasa yang digunakan untuk mengagak-agak sesuatu makna atau keadaan. Dalam contoh 1, MH menggunakan bahasanya (bahasa kartun) untuk memberikan nama atau menyebut benda-benda, sama ada dengan menggunakan pengalaman hidup dunianya ataupun dengan mengagak-agak. MH juga banyak meniru bahasa yang sering didengar dan dituturkan dalam rancangan kartun kegemarannya.


Contoh 2 dan 3 menunjukkan bahasa MH yang menggunakan pernyataan. Dia lebih banyak bertanya untuk mendapatkan maklumat . Pernyataan bertujuan atau hasratnya yang khusus ditujukan kepada orang lain yang rapat dengannya. Pemahaman hanya berlaku setelah dia mendapat maklumat yang dikehendaki.

Dalam contoh seterusnya MH dan MA menggunakan bahasa proto (protolanguage) yang biasa digunakan oleh kanak-kanak pada perkembangan bahasa fasa pertama antara 13 hingga 18 bulan (Halliday 1975; Painter 1988). MA menggunakan bunyi-bunyi yang mengandungi makna yang berkait rapat dengan sesuatu benda atau perkara, iaitu “Auuu……aummm…eeee” yang merujuk kepada bunyi harimau yang selalu didengar dalam rancangan televisyen.. Manakala dalam Contoh 3 subjek kajian (MA dan MH menggunakan ayat-ayat dengan tiga pola iaitu kata tunggal, dua kata dan tiga kata. Kebanyakan pola ayat yang dituturkan di atas dapat dilihat dalam contoh-contoh di Lampiran 4.

Seterusnya dalam contoh jelas mampu membentuk ayat selapis yang bercirikan ayat Tanya yang biasa digunakan dalam tatabahasa pertuturan orang dewasa. Ayat-ayat tersebut menyamai sistem linguistik orang dewasa yang imaginatif. MH telah berjaya mengaitkan pengalamannya dalam ayat berkenaan kerana MH selalu melihat harimau didalam rancangan kartun kegemarannya. Contohnya rancangan ‘Animal Machanical” dan “Tom and Jerry” Begitu juga dengan pengetahuannya tentang ‘lori’ yang pada kebiasaan kanakkanak seusianya hanya mengeneralisasikan sebagai ‘kereta’ sahaja. Pengalaman MH yang seringkali melihat ‘lori’ di jalan raya dan di sekitar kawasan rumahnya. Ini dibantu lagi dengan permainan lori yang selalu dimainkan dengan adik beradiknya yang lain. Ingatan terhadap lori itu begitu kukuh.

Selain melihat struktur, fungsi dan kelas kata, ayat-ayat (ujaran) bahasa kanak-kanak juga dapat difahami melalui tekanan suara (stress) ataupun nada suara kanak-kanak tersebut. Nada suara dapat menentukan sama ada sesuatu ayat itu bermakna “ideational” atau “interpersonal”. Ayat “Abah enyok apa? (Abah tengok apa?)” menunjukkan MA ingin tahu dan memerlukan jawapan daripada orang yang berinteraksi dengannya. Adakalanya MH mengeluarkan ujaran yang memberikan makna hairan . Perbualan dan pertuturan mereka nampaknya sudah mula berubah daripada bentuk instrumen dan regulatory kepada bentuk yang lebih pragmatik (Halliday 1975) iaitu antara ideational dan interpersonal.
Dengan perkataan lain, bahasa pertuturan sudah mula berubah daripada bentuk matetik kepada bahasa orang dewasa. Dalam contoh-contoh di bawah pula, menunjukkan ujaran MH menggunakan ayat-ayat yang lebih bermakna dan mempunyai ciri-ciri linguistik orang dewasa yang terdiri daripada makna semantik, tatabahasa leksikal dan fonologi.Secara ringkasnya, ciri-ciri dan masalah pemahaman ayat-ayat produktif SF didapati pada tahap usia 2 tahun, MA sudah mula berada pada tahap transisi. Pada tahap ini proses pembelajaran bahasa mula berlaku. Pengaruh sesuatu bahasa mula nampak jelas.

Perubahan ayat-ayat yang diucapkan oleh SF menunjukkan kanak-kanak ini sudah mula meninggalkan bahasa matetik atau ‘holofrasa’. Dapatan kajian ini seakan menyamai kajian yang telah dilakukan Halliday (1975) terhadap anaknya Nigel. inamun demikian bahasa yang digunakan oleh SF masih bercampur-aduk antara ayat yang berbentuk telegrafik dan ayat-ayat yang pragmatik seperti yang diperhatikan melalui ayat-ayat yang diujarnya dalam kajian ini.

Berdasarkan dua set rakaman pertuturan (Lampiran 1 dan Lampiran 2) dalam kajian ini, pengiraan Min Panjang Ujaran (MLU) bagi MA dan abangnya MH telah dibuat berdasarkan Brown’s Stages of Development. MLU merupakan satu indeks yang telah diperkenalkan oleh Brown (1973) bagi mengukur perkembangan atau penguasaan bahasa kanak-kanak secara am. Mengikut Bryen & Galagher (1991) mengukur ujaran kanak-kanak dan orang dewasa dengan menggunakan MLU merupakan pendekatan yang heuristik. MLU boleh dikira dengan membahagikan jumlah morfem dengan jumlah ujaran.

Kajian ini menunjukkan MLU bagi kedua-dua set rakaman pertuturan MH adalah hampir sama iaitu 3.12 bagi Set 1 dan 3.10 bagi Set 2. Ini bermakna MA berada pada tahap atau Fasa III berdasarkan Brown’s Stages of Development. Ini bermakna MH sudah berada pada peringkat peralihan ke arah penggunaan bahasa orang dewasa. Keadaan ini berbeza dengan rakannya MH yang hanya mempunyai MLU 2.39 walaupun MH berusia lebih tinggi berbanding MA. MH yang lebih dewasa dari MA juga mempengaruh bahasa MA. Ini kerana si adik lebih banyak meniru perlakuan dan perkataan yang dituturkan oleh abangnya.

Berdasarkan semasa pemerhatian pengkaji, MA dan MH banyak didedahkan kepada persekitaran oleh kedua-dua ibu bapanya disebabkan oleh komitmen tugas mereka seharian. Ini mungkin kerana mereka berdua sering dibawa ke mana-mana dan selalu berjumpa dengan sesuatu yang baharu. Contohnya lori yang sering dilihat semasa di jalanraya dan lori permainannya. Lori juga sering kali dilihat di dalam rancangan televisyen dan gambar-gambar.
Dalam konteks ini Brown (1973) menyatakan sekiranya dua orang kanak-kanak berada pada peringkat atau nilai MLU yang sama serta dalam lingkungan umur yang sama pula, maka besar kemungkinan kanak-kanak tersebut akan menunjukkan pola-pola penggunaan morfem yang sama, daripada kanak-kanak lain yang berada pada peringkat dan nilai MLU yang sama tetapi umur yang berbeza.

3.2 Ayat-ayat Bentuk Penerimaan

Tumpuan utama analisis ialah tentang persoalan “Apakah bentuk-bentuk ayat reseptif yang difaham dan apakah masalah pemahaman yang dihadapi oleh kanak-kanak?”. Ayat-ayat yang menjadi contoh dalam analisis ini ialah ayat yang diambil daripada beberapa dialog dalam rakaman perbualan SF. Ayat-ayat (dalam bentuk ujaran) jenis penerimaan atau reseptif ialah ayat-ayat yang diterima dan difahami oleh SF apabila diujarkan oleh penutur lain.Ciri pertama ayat-ayat bentuk reseptif yang mudah difahami bergantung pada bahasa dalam dialog yang digunakan oleh penyampai yang berinteraksi dengan seseorang kanak-kanak.

Ayat-ayat sering dituturkan dan didengar oleh kanak-kanak mudah difahami biasanya terdiri daripada dialog yang digunakan oleh ‘ibu’ atau orang yang terdekat dengan mereka, iaitu bentuk pertuturan yang disederhanakan sebagai input bahasa yang didengar oleh kanak-kanak. Bahasa pertuturan begini terdiri daripada penggunaan ayat yang pendek. Perkataan-perkataan yang merujuk kepada makna yang konkrit dan tidak menggunakan imbuhan. Ayat-ayat ringkas dan mudah disebut.

Mengikut Messer (1983), pada kebiasaannya pertuturan orang dewasa terhadap kanak-kanak mempunyai ujaran yang pendek berbanding pertuturan sesama orang dewasa, sama ada ukuran dari aspek morfem (Drach 1969), atau bilangan perkataan (Philips 1973; Longhurst & Stepanich 1975).

Dalam kajian ringkas ini, MH didapati mudah untuk memahami ayat-ayat yang menggunakan intonasi yang menunjukkan fungsi tertentu dengan dibantu oleh isyarat atau visual. Banyak perbendaharaan kata baru dipelajari setiap hari. Perbendaharaan kata yang baharu didengar ini selalunya didapati dari rancangan kartun yang ditonton. Di sini ditegaskan bahawa pengaruh televisyen sangat berkesan untuk mempengaruhi bahasa dan perbendaharaan kata MH. Sementara adiknya MA lebih banyak belajar daripada abangnya MH. MA lebih cepat faham kalau ransangan gambar-gambar dan objek digunakan ketika menyoal dan berkomunikasi..

Ayat-ayat yang digunakan oleh MA,MH dan AA (bapanya) adalah bercirikan ‘motherese’ sesuai dengan situasi, mood dan fungsi soalan yang dikemukakan oleh AA dan dijawab oleh MA dan MH, begitu juga sebaliknya. Mengikut Asmah (1986) salah satu dorongan bagi manusia untuk menggunakan bahasa ialah memberi nama atau jenama “label” kepada apa yang dilihat di sekitarnya. Orang dewasa apabila melihat sesuatu yang belum dikenalinya, akan terus bertanya “Itu apa?”. Benda yang sudah ada nama atau “label” itu akan tinggal dalam daya ingatan seseorang jauh lebih lama berbanding benda yang belum diberi nama, sungguhpun pemberian nama itu adalah sewenang-wenang.

Kajian ini menunjukkan bahawa kanak-kanak dapat menjawab dengan betul apabila disokong dengan gambar objek tetapi ada kalanya juga cuba menggunakan groping (menekaneka) bagi visual yang tidak dikenalinya. Ini kerana objek yang dilihat tersebut tiada dalam pengalaman atau pengetahuannya. Bukti ini menggambarkan bahawa kanak-kanak mempelajari bahasa daripada pelbagai sumber yang terdapat dalam persekitaran mereka (Juriah Long 1993).

4. Rumusan dan cadangan
Sebagai rumusan umum daripada kajian ringkas ini didapati bahawa , kanak-kanak kecil berusia dua tahun dan empat tahun sangat mudah untuk memahami bahasa dan mempelajari sesuatu perbendaharaan yang baharu. Kanak-kanak kecil sebegini dapat memahami ayat-ayat yang didengarnya kerana ayat-ayat itu mempunyai ciri-ciri bahasa matetik dan holofrastik. Contohnya di sini pengaruh rancangan televisyen (cerita kartun) didapati sangat mempengaruhi bahasa setiap kanak-kanat tersebut. Selain itu juga minat terhadap sesuatu ransangan juga didapati mempengaruhi pemerolehan bahasa terhadap kanak-kanak. Contoh di sini mudah sahaja. Kanak-kanak yang dikaji sangat berminat dengan rancangan kartun. Oleh itu pengaruh bahasa dan watak kartun sangat jelas. Rancang kartun telah berjaya mempengaruh proses pembelajaran bahasa kanak-kanak yang dikaji. Setiap kanak-kanak faham jika mendengar ayat-ayat yang mudah atau ringkas (ayat telegrafik) dengan merujuk kepada benda, situasi dan pengalaman yang konkrit yang menunjukkan sudah mula melangkah ke peringkat bahasa transisi, iaitu mula menguasai ciri-ciri bahasa orang dewasa. Sementara bagi adiknya yang berusia dia tahun pula, banyak ujarannya didapati tidak dapat difahami maknanya. Berdasarkan MLU yang diperolehi dalam pertuturannya, MA masih lagi berada pada tahap II iaitu tahap penggunaan satu atau dua patah perkataan (telegrafik).
Apa yang jelas di sini kita melihat ada perbezaan di antara pemerolehan bahasa dengan pengwujudan bahasa. Ternyata kedua-dua kanak-kanak ini sudah menjalani proses pemerolehan bahasa secara penerimaan (reception) selama lebih daripada dua tahun. Semua kanakkanak mengalami proses penerimaan sejak mereka lahir, dan setelah itu mereka mewujudkannya, iaitu sesudah berumur kira-kira 1 ½ tahun.
Mengikut Asmah (1986) peraturan bahasa bukanlah satu hal yang mudah dikuasai. Bayangkan sahaja jumlah bunyi dan peraturan bagi mewujudkan rentetan bunyi hingga menjadi suku kata dan seterusnya kata. Di samping itu terdapat pula peraturan nahu yang sangat rumit. Semuanya ini harus dihayati oleh kanak-kanak, sungguhpun tidak sekali gus. Ada peraturan yang timbul lebih dahulu dari yang lain, dan ada pula yang sangat lambat munculnya.

Mengikut Whitney (1998) apabila seseorang kanak-kanak itu semakin meningkat usianya, kapasiti penerbitan bahasa juga akan bertambah, dan semakin mudah untuk diuji tahap kefahamannya sebagaimana juga yang dihadapi oleh psikolinguist terhadap orang dewasa. Dalam kes seperti ini, eksperimen boleh dilaksanakan dengan mengambilkira respon pertuturan kanak-kanak untuk menilai tahap pemahamannya.

Bagi kanak-kanak Melayu, kata-kata awal yang timbul ialah kata isi atau kata sari (content words). Kata isi atau kata sari ini biasanya terdiri daripada kata yang merujuk kepada alam sekelilingnya. Di sini pengaruh ibu bapa dan persekitaran sangat penting dalam setiap kanak-kanak itu mempelajari bahasa dan perbendaharaan kata. Setiap perkataan yang didengar oleh setiap kanak-kanak itu akan diperhati dan disimpan oleh setiap kanakk-kanak tersebut. Perkataan baru ini akan digunakan oleh kanak-kanak itu apabila sampai waktunya. Waktu itulah kita akan terkejut dengan tahap kebolehan bahasa kanak-kanak tersebut.







5. Kesimpulan
Hasil yang diperolehi daripada kajian ringkas ini membuktikan bahawa aspek ransangan dan rakan sebaya memainkan peranan dalam penguasaan bahasa dan pembentukan ayat-ayat setiap kanak-kanak dalam kemahiran berbahasa. Penguasaan setiap kemahiran dalam pembentukan ayat-ayat ringkas merupakan satu daripada dua perkara penting dalam menguasai sistem bahasa selain morfologi. Ini juga dikenali sebagai lexicogrammar.

Penguasaan ayat juga tidak dapat dipisahkan daripada penguasaan fonologi dan semantik sesuatu bahasa. Pada kesimpulannya kajian ini mendapati analisis ujaran menunjukkan tahap pemerolehan bahasa kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh pesekitaran dan ransangan yang membina. Contohnya ransangan rancangan kartun kegemaran dan ransangan buku bergambar Mula Mewarna.
Daya ingatan setiap kanak-kanak juga berbeza mengikut perkembangan otak kanak-kanak.
Kanak-kanak kecil seusia dua tahun lebih banyak menggunakan ayat-ayat satu kata dan dua kata, manakala ayat-ayat tiga kata ke atas kurang digunakan. Manakala kanak –kanak yang lebih berusia pula lebih berkembang tahap kebolehan berbahasanya. Ini selari dengan usia mereka. Oleh itu rangsangan yang berbeza juga perlu untuk menolong mempercepatkan perkembangan bahasa kanak-kanak tersebut. Selain itu kana-kanak yang berusia empat tahun telah cuba menggunakan ayat yang berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan bergantung pada fungsi yang hendak disampaikannya. Ayat-ayat itu terdiri daripada ayat satu kata, dua kata, tiga kata dan lebih daripada empat kata. Selain itu juga, ia sudah mula menggunakan ayat tanya ataupun ayat berbentuk pertanyaan. Ini menolong menambahkan perbedaharaan kata setiap kanak-kanak. Peringkat seterusnya ini ialah peringkat transisi ke arah penggunaan bahasa orang dewasa. Walau bagaimanapun, kanak-kanak kecil masih lagi terikat dengan bahasa matetik dan telegrafik dan lebih mudah memahami ayat-ayat yang didengarnya jika terdapat di dalamnya ciri-ciri penyederhanaan dan motherese.

Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa pemerolehan dan perkembangan bahasa kanak-kanak itu berlaku kepada setiap kanak-kanak. Kita hanya perlu membantu dengan sedikit ransangan yang bagus dan positif. Perkembangan bahasa kanak-kanak juga berlaku seiring dengan tahap usia dan perkembangan minda setiap kanak-kanak.

Bahasa Kurang Sopan

PENGENALAN

Linguistik dan paralinguistik ini berfungsi sebagai alat komuni¬kasi. Linguistik ini bersama-sama dengan keperihaan konteks situasi ini membina situasi tertentu dalam berbahasa dalam proses komunikasi. Yang dimaksudkan dengan konteks situasi itu adalah bahagian-bahagian wacana yang menjadi persekitaran perkataan atau petikan yang dapat menjelaskan makna, dan perkara-perkara yang menjadi syarat saling berkaitan menentukan kewujudan sesuatu.

Dengan demikian maka konteks situasi bahasa dapat disimpul¬kan sebagai suasana ketika ujaran berlangsung dan mempengaruhi makna ujaran itu. Dengan perkataan lain, lingkungan inilah yang memberi keistimewaan tersendiri pada makna perkataan atau ujaran dalam situasi sebenarnya.

Kamus dewan mendefinisikan bahasa halus sebagai bahasa yang terdiri daripada perkataan-perkataan yang lebih lembut dan digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain. Bahasa kasar ialah bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan.Contohnya ialah perkataanm em buta bagi maksudtidur . Za’ba mengaitkan konsep ‘halus’ dan ‘kasar’ini dengan bahasa kiasan.Mengikut Za’ba,bahasa kiasan ialah bahasa yang memperkatakan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada yang lain,sama ada dengan
menyebutkan bandingan atau tanpa bandingan. Tujuan penggunaan bahasa kiasan adalah supaya maksud yang hendak disampaikan itu lebih jelas.


Hakikat yang berlaku dalam sistem komunikasi masyarakat Malaysia menampakkan semakin lunturnya budaya kesantunan yang merangkumi nilai kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri serta penggunaan lagu suara yang baik dan menyenangkan. Kini, nilai kesantunan ketika berbahasa tidak lagi dipelihara dan semakin kurang diberi perhatian.



FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG BERLAKUNYA PENGGUNAAN BAHASA TIDAK SOPAN

Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek, melecehkan orang lain dan sebagainya kini mengambil tempat yang akhirnya menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Lebih malang ialah kini indahnya sesebuah bangsa bukan lagi kerana bahasa yang digunakan.

Sedang suatu ketika dulu bangsa Melayu terkenal dengan ciri-ciri ketimuran yang sarat teguh dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti tinggi. Bahasa diangkat sebagai medium yang berperanan menggabung jalin segala aspek pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu ketika itu.

Gambaran yang dilakukan secara realistik oleh tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Zaba), Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syeikh Abd Al-Samad dan sebagainya melalui karya-karya mereka ini dengan gahnya mengaspirasi segala semangat, keadaan masyarakat, cara hidup, nilai budaya, cita rasa dan pemikiran masyarakat Melayu kepada dunia luar.

Bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar.



Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.



Apa yang berlaku ialah masyarakat sekadar menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi.

Begitu juga halnya dengan bahasa yang digunakan oleh media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Menerusi agenda mempromosikan produk khususnya, media masih gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri kamu bagi merujuk kepada pendengar sedangkan sudah sedia jelas bahawa pendengar dan media ada jurang yang harus diambil kira, iaitu dari aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran yang secara harfiahnya tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan media.
Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan yang digunakan namun layakkah jika sebahagian pendengar yang terdiri daripada warga emas dikamu-kamukan sahaja? Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan kamu, iaitu anda.

Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku juga trend pengucapan yang tanpa disedari sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Tentu sekali kita biasa mendengar ungkapan tau tak pe yang kini dilihat menjadi kebiasaan pengucapan golongan remaja. Lebih mengecewakan ialah mereka langsung tidak mengetahui negatifnya ungkapan tersebut walaupun bertujuan untuk mengiyakan atau bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tingkah laku komunikasi tersebut sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan sikap sombong, berlagak, membangga diri serta memperlihatkan penutur lebih tahu akan perkara yang sedang dibincangkan walaupun melibatkan dua peringkat umur yang berbeza.

Untuk menggantikan ungkapan tersebut, difikirkan wajar menggunakan ungkapan persetujuan yang menunjukkan kerendahan diri, berbudi dan hormat seperti ye, betul tu, saya setuju dan sebagainya. Kelemahan dan ketidakarifan ini akhirnya akan memperlihatkan kurang pekanya masyarakat kita untuk menghalusi nilai kesopanan berbahasa dengan baik.

Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.
Bahasa orang Melayu terus menerus menjadi layu. Tidak kira sama ada dituturkan kepada sesama rakan sebaya atau yang lebih berusia, penggunaan kata ganti nama diri yang sopan dan lebih manis seperti awak, anda, saudara, encik, tuan dan sebagainya telah digantikan dengan panggilan ringkas seperti lu, gua, bro, beb dan banyak lagi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa penerimaan masyarakat secara membabi buta ini secara halusnya telah menidakkan keupayaan bahasa ibunda sebagai kayu ukur yang menentukan tingginya martabat bangsa. Ditakuti apabila bahasa ibunda dicacamarbakan maka budaya, nilai dan corak pemikiran tidak lagi mampu dicorakkan oleh bangsanya sendiri.

Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.

Tidak dinafikan bahawa komunikasi tidak formal tidak terikat kepada peraturan linguistik, yang dipentingkan ialah keselesaan dan kesalingfahaman (cooperative principle) pendengar. Akan tetapi, dalam konteks berbahasa tentu sekali menyakitkan hati apabila ada remaja yang berhajatkan sesuatu kepada kita tidak langsung mengucapkan salam terlebih dahulu. Di mana silapnya sedangkan di peringkat sekolah rendah lagi pendedahan sivik dan pengetahuan sosiolinguistik telah diterapkan agar memberi manfaat kepada pelajar untuk disesuaikan dengan masyarakat luar kelak.

Oleh yang demikian, gelombang perubahan untuk menjunjung kembali nilai kesopanan berbahasa perlu dilaksanakan segera. Tibalah masanya untuk semua pihak terutamanya ibu bapa dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau universiti memberikan penekanan yang total terhadap aspek kesantunan dalam proses belajar dan mengajarkan bahasa yang seharusnya dilakukan secara bersepadu dan kolektif.

Penekanan terhadap beberapa aspek seperti apa yang sebaiknya dikatakan pada waktu dan dalam keadaan tertentu, penggunaan ragam bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah, mengetahui kenyaringan suara yang sesuai digunakan ketika berbicara, mengetahui bagaimana sikap dan gerak geri badan yang bersesuaian ketika berbicara dan akhir sekali ialah bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.

Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah lakuyang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-msing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan atau diskusi dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anak-anak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumaha tetapi juga di sekolah.
.

CADANGAN YANG WAJAR DIAMBIL SUPAYA FENOMENA INI TIDAK BERLELUASA

Definisi ‘kempen’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah segala usaha(kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan (rayuan dan lain-lain) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dan lain-lain). ‘Budi bahasa’ pula bermaksud tingkah laku dan perbuatan. Jika digabungkan perkataan ‘nilai’ menurut
W.G.Ricky & Pustay, 1999 dan perkataan ‘murni’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka
perkataan ‘nilai murni’ boleh ditafsirkan sebagai prinsip, standard dan tatacara tindakan seseorang dalam sesuatu organisasi tanpa mengandungi unsur-unsur asing(biasanya unsur-unsur yang mencemarkan) bersih benar,suci, dan tulen. Dari definisi-definisi diatas dapatlah disimpulkan bahawa Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bermaksud usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu kempen itu akan dapat membuahkan hasil.
Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, dan maklumat yang tiada batasnya, masyarakat yang dahulunya tidak banyak terdedah dengan persekitaran sejagat sekarang segalanya berada dihujung jari seperti penggunaan internet di mana teknologi ini membolehkan rakyat Malaysia menggunakannya untuk mendapatkan maklumat. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan budaya bangsa Malaysia. Tanpa disedari budaya negatif boleh meresap dalam diri mereka dan mereka mungkin mengikut dan mengamalkan cara hidup tersebut. Penjajahan budaya hangat diperkatakan di mana remaja kini lebih cenderung memilih idola dari barat seperti penyanyi dan pelakon filem. Ramai yang begitu taksub dengan idola mereka sehingga sanggup meniru cara berpakaian yang menjolok mata, penggunaan perkataan yang kasar serta kesat, cara bergaul tanpa batasan, dan gaya hidup yang jelas melanggar tatasusila masyarakat dan agama. Penerapan nilai dan budaya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat mudah diterima jika masyarakat tidak diberi peringatan. Tapisan maklumat dari sumber-sumber yang sukar di kawal menjadi kemahiran yang perlu ada pada diri kita. Jika tidak penerapan nilai yang tidak sejajar dengan budaya kita akan diserap tanpa disedari.



Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Apabila kita kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi pengiktirafan kepada faktor-faktor di sekeliling kita tersebut.

Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli bahasa Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan,dimanadilakukandanapasebabnya.

Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat. Artikel ini akan melihat aspek ini.

Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni bukan penutur bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli bahasa Melayu belajar bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli bahasa Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yanglengkap.

Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur bahasa Melayu. Apakah agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan bahasa Melayu kacukan ini? Kemungkinannya penutur asli bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri yang mereka pamerkan.


RUMUSAN

Berbicara tentang kesantunan bahasa memang telah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa terkenal di Malaysia seperti Asmah Omar dan Awang Sariyan. Ini tidak termasuk kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli bahasa di universiti-universiti tempatan dan antarabangsa. Malah ruang lingkup kajian tidak hanya tertumpu kepada takrif kesantunan itu sendiri tetapi turut menyentuh perkara-perkara lain yang membicarakan persoalan tentang kesantunan bahasa dalam kalangan komuniti yang dikaji. Pemahaman tentang kesantunan bahasa bagi setiap golongan mungkin berbeza kerana ada yang berpendapat cukup sekadar memanggil orang tua dengan panggilan pak cik dan mak cik maka terserlah prinsip kesantunan tersebut.

Namun hakikatnya, banyak perkara yang perlu diteliti dalam menyelongkar maksud sebenar kesantunan bahasa dalam erti kata yang sebenar, di samping mencari inisiatif dalam meningkatkan kesantunan dalam kalangan masyarakat. Perbincangan di sini bukanlah hendak memberi fokus kepada perlakuan atau perbuatan fizikal yang tidak menunjukkan kesantunan. Tetapi memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa yang tidak sopan. Sekiranya hendak dibincangkan perlakuan yang tidak sopan dalam kalangan masyarakat hari ini, saban hari kita telah disajikan dengan berita-berita yang mengarah kepada perlakuan di luar sempadan kesantunan tersebut. Malah daripada pemaparan perlakuan yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besar perlakuan tidak sopan dan boleh mencapai kepada perlakuan yang lebih ganas.
Hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan bahawa kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang tertentu.

Lumrahnya, masyarakat akan melihat didikan daripada ibu bapa sebagai asas kepada pembentukan kesantunan bahasa. Ini sejajar dengan pernyataan Awang Sariyan bahawa asas kepada kesantunan bahasa adalah kepatuhan kepada peraturan bahasa. Namun demikian dalam realiti kehidupan seperti dalam percaturan sesuatu ceramah bagi tujuan berkempen dalam kalangan ahli politik mungkin ada sebahagian masyarakat beranggapan tidak memaparkan kesantunan bahasa. Justeru, di sinilah perlunya untuk melihat kepada peraturan penggunaan bahasa. Pihak lawan dan yang dilawan akan saling mencari idea dalam memancing undi para pengundi.

Maka peraturan bahasa tidak lagi diguna pakai dalam hal yang sedemikian. Walapun demikian tidak dinafikan masih ada lagi ahli-ahli politik yang patuh pada peraturan penggunaan bahasa ini, mungkin untuk mengelakkan dikatakan sebagai calon atau ahli politik yang biadap.
Jika asasnya bermula daripada didikan ibu bapa maka seharusnya kita mencari pendekatan yang benar-benar memudahkan kalangan ibu bapa dalam memberi pengetahuan dan praktikal kepada anak-anak. Ini kerana kita sendiri akan berasa malu sekiranya ada kalangan pelajar di peringkat pengajian tinggi masih terbawa-bawa dengan adap sopan santun dengan orang tua yang mungkin telah diterima dari sejak kecil untuk memanggil golongan tua dengan panggilan mak cik dan pak cik.

Walaupun nampak tidak ada kewajarannya bagi situasi ini untuk seorang yang terpelajar memanggil seorang pensyarah dengan panggilan mak cik atau pak cik hanya kerana pensyarah tersebut sudah kelihatan agak tua. Tetapi itulah kebenarannya.Kalau kita menjadikan pakaian kita sebagai cara untuk menutup segala keaiban fizikal kita, maka ini juga merupakan suatu bentuk kesantunan. Dalam memperkatakan kesantunan berpakaian sudah tentu banyak perkara yang perlu diteliti bukan sekadar sehelai kain yang menutup tubuh seseorang tetapi yang perlu dilihat adalah lebih daripada itu seperti jenis kain, saiz pakaian, ketebalan kain dan sebagainya.
Jika dilihat daripada perspektif bahasa, kesantunan bahasa menjadi pakaian harian kepada individu. Ini kerana setiap hari kita tidak dapat lari dalam berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling kita. Maka di sini peraturan penggunaan bahasa amat dititik beratkan.
Dalam situasi formal dan tidak formal penggunaan bahasa yang seharusnya diambil perhatian sudah tentu berbeza. Peraturan bahasa yang menjadi asas kepada kesantunan bahasa, seperti yang dikatakan oleh Asmah Omar perlu dilihat kepada tiga jenis iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik.

Secara ringkas peraturan linguistik memberi penelitian terhadap sebutan dan nahu, manakala peraturan sosiolinguistik melibatkan peraturan dalam berkomunikasi atau berinteraksi dan seterusnya peraturan pragmatik menyentuh tentang keberkesanan tujuan komunikasi tersebut.
Berdasarkan kepada peraturan bahasa ini bermakna setiap satu melibatkan konteks yang berbeza.
Hanya kita sebagai masyarakat mungkin tidak dapat membezakan dan mungkin tidak sedar bahawa setiap bentuk perlakuan dan penggunaan bahasa seharian kita ini, sebenarnya telah mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Kebiadapan individu dalam berkomunikasi akan mencetuskan pelanggaran peraturan ini, akibatnya komunikasi akan gagal. Jadi bagaimanakah seharusnya sebagai ibu bapa dan juga masyarakat kita dapat mendidik anak-anak kita agar benar-benar mengikut peraturan tersebut? Dalam hal ini, sebagai masyarakat biasa, pemahaman terhadap setiap peraturan tersebut cukuplah sekadar dengan kita memahami peraturan penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang sekitar kita.Juga pada dasarnya perlulah melihat juga kepada kesesuaian keadaan, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak.

Kekangan dalam memastikan setiap anggota masyarakat patuh pada peraturan ini dalam penggunaan bahasa mungkin agak sukar. Ini terutamanya jika individu tersebut terlalu cepat terpengaruh dengan penggunaan bahasa tidak sopan yang dipaparkan dalam internet atau mungkin dalam media massa. Oleh itu masyarakat yang menjadi pemerhati atau penilai bagi penggunaan bahasa dalam kalangan komuniti atau di luar komuniti mereka, juga perlu bertindak mengikut peraturan ini. Bahkan dengan melarikan diri daripada sebarang peraturan bahasa ini akan meletakkan masyarakat tersebut kepada pengabaian kesantunan bahasa.

RUJUKAN

1) http://sosiolinguistik.blogspot.com/
2) http://www.berita-harian-online.com/minda-hilang-budaya-santun/

Monday, December 19, 2011

Pantun Utk Mereka Yg Malas Solat

Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang…

Apasal la aku malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
takkan 10 minit , Setiap satu waktu aku tak boleh luang...

Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang…

Apasal la aku malas sembahyang,
Main bola aku sanggup sampai petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang
Apa la aku ingat masuk syurga bo leh hutang…?

Apasal la aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang….

Apasal la aku malas sembahyang
siksa neraka cuba la aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!

Sunday, December 11, 2011

Bantuan 1 Malaysia

Saya yakin ramai yang tak tahu tentangSyarat Layak Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 ni bukan? Jadi, sila rujuk dengan beberapa point dibawah. Mungkin boleh membantu sedikit sebanyak dalam hal ini.

Syarat Asas :

■Warganegara Malaysia
■Isi rumah berpendapatan kasar RM3000 dan ke bawah sebulan
Dokumen Wajib :

■Borang Pendaftaran BR1M
■Salinan MyKad/ Kad Polis/ Kad Tentera
■Salinan Gaji
■Jika anda penerima bantuan e-Kasih, anda layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Kelayakan dan Definisi Ketua Isi Rumah

Dari sumber Mekanisma BR1M, bantuan ini diberikan kepada ketua keluarga atau ketua isi rumah. Ianya merangkumi indidu yang berkahwin, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan, bujang yang mempunyai tanggungan dan warga emas sebatang kara. Ilustrasi dibawah penerangan bagaimana anda layak untuk memohon BR1M






Ok. Dah lengkap semua kan? Apa yang perlu anda lakukan?

Borang yang sudah lengkap bolehlah diserahkan melalui Pejabat Daerah, wakil rakyat, Ketua Kampung, LHDN & sekolah-sekolah yang terpilih, ianya harus dikembalikan sebelum 10 Januari 2012, manakala bagi Pembayaran BR1M, ianya akan dibuat pada pertengahan bulan Jan kepada penerima yg layak setelah semakan dibuat oleh Kementerian Kewangan (MoF).

Bagi pemohon yang tidak mempunyai slip gaji, contohnya berkerja sendiri, boleh mendapatkan pengesahan dari wakil rakyat ataupun ketua kampung.

Untuk maklumat lanjut boleh diakses dengan melayari laman web http://www.treasury.gov.my atau menghubungi talian 1-800-222-500.

Ps: Ok, harap ini akan membantu mereka-mereka yang mahu dapatkan bantuan rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 untuk bekalan belanja tahun 2012 nanti. RM500 tu pun, banyak apa.