PENGENALAN
Linguistik dan paralinguistik ini berfungsi sebagai alat komuni¬kasi. Linguistik ini bersama-sama dengan keperihaan konteks situasi ini membina situasi tertentu dalam berbahasa dalam proses komunikasi. Yang dimaksudkan dengan konteks situasi itu adalah bahagian-bahagian wacana yang menjadi persekitaran perkataan atau petikan yang dapat menjelaskan makna, dan perkara-perkara yang menjadi syarat saling berkaitan menentukan kewujudan sesuatu.
Dengan demikian maka konteks situasi bahasa dapat disimpul¬kan sebagai suasana ketika ujaran berlangsung dan mempengaruhi makna ujaran itu. Dengan perkataan lain, lingkungan inilah yang memberi keistimewaan tersendiri pada makna perkataan atau ujaran dalam situasi sebenarnya.
Kamus dewan mendefinisikan bahasa halus sebagai bahasa yang terdiri daripada perkataan-perkataan yang lebih lembut dan digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain. Bahasa kasar ialah bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan.Contohnya ialah perkataanm em buta bagi maksudtidur . Za’ba mengaitkan konsep ‘halus’ dan ‘kasar’ini dengan bahasa kiasan.Mengikut Za’ba,bahasa kiasan ialah bahasa yang memperkatakan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada yang lain,sama ada dengan
menyebutkan bandingan atau tanpa bandingan. Tujuan penggunaan bahasa kiasan adalah supaya maksud yang hendak disampaikan itu lebih jelas.
Hakikat yang berlaku dalam sistem komunikasi masyarakat Malaysia menampakkan semakin lunturnya budaya kesantunan yang merangkumi nilai kesopanan, keluhuran, ketertiban, hormat, merendah diri serta penggunaan lagu suara yang baik dan menyenangkan. Kini, nilai kesantunan ketika berbahasa tidak lagi dipelihara dan semakin kurang diberi perhatian.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG BERLAKUNYA PENGGUNAAN BAHASA TIDAK SOPAN
Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek, melecehkan orang lain dan sebagainya kini mengambil tempat yang akhirnya menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif. Lebih malang ialah kini indahnya sesebuah bangsa bukan lagi kerana bahasa yang digunakan.
Sedang suatu ketika dulu bangsa Melayu terkenal dengan ciri-ciri ketimuran yang sarat teguh dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti tinggi. Bahasa diangkat sebagai medium yang berperanan menggabung jalin segala aspek pemikiran, kesopanan, keintelektualan dengan budaya masyarakat Melayu ketika itu.
Gambaran yang dilakukan secara realistik oleh tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad (Zaba), Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syeikh Abd Al-Samad dan sebagainya melalui karya-karya mereka ini dengan gahnya mengaspirasi segala semangat, keadaan masyarakat, cara hidup, nilai budaya, cita rasa dan pemikiran masyarakat Melayu kepada dunia luar.
Bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar.
Secara tidak langsung keadaan ini telah menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai berbudi dan santun yang selama ini menjadi pasak kemegahan budaya dan bangsa. Krisis ini berlaku tidak mengira peringkat umur, status dan pangkat sama ada golongan kanak-kanak, remaja, dewasa bahkan sektor awam yang seharusnya menjunjung etika berbahasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat semakin kurang ditekankan.
Apa yang berlaku ialah masyarakat sekadar menyampaikan idea yang ada dalam fikiran sehingga lupa mematuhi norma budaya dan tatacara komunikasi verbal yang baik dan sopan. Kesannya, segala nilai negatif seperti sombong, angkuh, bersikap tidak acuh, ego, tidak beradat bahkan kurang ajar berlaku yang boleh membantutkan kelancaran komunikasi.
Begitu juga halnya dengan bahasa yang digunakan oleh media khususnya saluran radio masih menampakkan kegagalan untuk mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik. Menerusi agenda mempromosikan produk khususnya, media masih gagal mengenal pasti penggunaan kata ganti diri yang tepat. Terdapat iklan mempromosi pakaian yang menggunakan kata ganti diri kamu bagi merujuk kepada pendengar sedangkan sudah sedia jelas bahawa pendengar dan media ada jurang yang harus diambil kira, iaitu dari aspek usia, taraf pendidikan dan status gelaran yang secara harfiahnya tidak mempunyai hubungan yang akrab dengan media.
Meskipun kesan kesantunan berbeza-beza mengikut jenis sapaan yang digunakan namun layakkah jika sebahagian pendengar yang terdiri daripada warga emas dikamu-kamukan sahaja? Kepelbagaian sistem sapaan dalam bahasa Melayu dengan mudah telah menggariskan kepelbagaian fungsi bentuk sapaan yang lebih sesuai dan sopan untuk digunakan bagi menggantikan bentuk sapaan kamu, iaitu anda.
Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku juga trend pengucapan yang tanpa disedari sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Tentu sekali kita biasa mendengar ungkapan tau tak pe yang kini dilihat menjadi kebiasaan pengucapan golongan remaja. Lebih mengecewakan ialah mereka langsung tidak mengetahui negatifnya ungkapan tersebut walaupun bertujuan untuk mengiyakan atau bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tingkah laku komunikasi tersebut sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan sikap sombong, berlagak, membangga diri serta memperlihatkan penutur lebih tahu akan perkara yang sedang dibincangkan walaupun melibatkan dua peringkat umur yang berbeza.
Untuk menggantikan ungkapan tersebut, difikirkan wajar menggunakan ungkapan persetujuan yang menunjukkan kerendahan diri, berbudi dan hormat seperti ye, betul tu, saya setuju dan sebagainya. Kelemahan dan ketidakarifan ini akhirnya akan memperlihatkan kurang pekanya masyarakat kita untuk menghalusi nilai kesopanan berbahasa dengan baik.
Selain untuk menggambarkan sahsiah bangsa, kesantunan berbahasa bertujuan untuk melancarkan komunikasi sosial. Akan tetapi, berlakunya krisis kesantunan berbahasa ini sebenarnya tiada lain akibat pengaruh persekitaran, lakonan masyarakat kita sendiri selain pengaruh media yang dilihat amat mudah mempengaruhi perilaku berbahasa anak-anak muda.
Bahasa orang Melayu terus menerus menjadi layu. Tidak kira sama ada dituturkan kepada sesama rakan sebaya atau yang lebih berusia, penggunaan kata ganti nama diri yang sopan dan lebih manis seperti awak, anda, saudara, encik, tuan dan sebagainya telah digantikan dengan panggilan ringkas seperti lu, gua, bro, beb dan banyak lagi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa penerimaan masyarakat secara membabi buta ini secara halusnya telah menidakkan keupayaan bahasa ibunda sebagai kayu ukur yang menentukan tingginya martabat bangsa. Ditakuti apabila bahasa ibunda dicacamarbakan maka budaya, nilai dan corak pemikiran tidak lagi mampu dicorakkan oleh bangsanya sendiri.
Seringkali juga kita berhadapan dengan situasi tiadanya kesedaran mengutamakan soal hormat dan ketertiban terutamanya dalam kalangan remaja dengan cara mengucapkan salam sapaan tanda hormat sebelum memulakan bicara khususnya dalam situasi tidak formal.
Tidak dinafikan bahawa komunikasi tidak formal tidak terikat kepada peraturan linguistik, yang dipentingkan ialah keselesaan dan kesalingfahaman (cooperative principle) pendengar. Akan tetapi, dalam konteks berbahasa tentu sekali menyakitkan hati apabila ada remaja yang berhajatkan sesuatu kepada kita tidak langsung mengucapkan salam terlebih dahulu. Di mana silapnya sedangkan di peringkat sekolah rendah lagi pendedahan sivik dan pengetahuan sosiolinguistik telah diterapkan agar memberi manfaat kepada pelajar untuk disesuaikan dengan masyarakat luar kelak.
Oleh yang demikian, gelombang perubahan untuk menjunjung kembali nilai kesopanan berbahasa perlu dilaksanakan segera. Tibalah masanya untuk semua pihak terutamanya ibu bapa dan institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau universiti memberikan penekanan yang total terhadap aspek kesantunan dalam proses belajar dan mengajarkan bahasa yang seharusnya dilakukan secara bersepadu dan kolektif.
Penekanan terhadap beberapa aspek seperti apa yang sebaiknya dikatakan pada waktu dan dalam keadaan tertentu, penggunaan ragam bahasa yang bersesuaian dengan situasi, mengambil kira bagaimana dan bila kita harus menunggu giliran untuk bercakap atau mencelah, mengetahui kenyaringan suara yang sesuai digunakan ketika berbicara, mengetahui bagaimana sikap dan gerak geri badan yang bersesuaian ketika berbicara dan akhir sekali ialah bila masanya kita harus diam dan mengakhiri sesuatu perbicaraan juga menjadi komponen yang tidak kurang pentingnya dalam objektif kita mewujudkan gaya hidup yang sempurna dan penuh dengan nilai kesantunan agar keperibadian bangsa yang luhur, dihormati dan disegani dapat dikekalkan.
Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah lakuyang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.
Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-msing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan atau diskusi dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anak-anak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumaha tetapi juga di sekolah.
.
CADANGAN YANG WAJAR DIAMBIL SUPAYA FENOMENA INI TIDAK BERLELUASA
Definisi ‘kempen’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah segala usaha(kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan (rayuan dan lain-lain) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dan lain-lain). ‘Budi bahasa’ pula bermaksud tingkah laku dan perbuatan. Jika digabungkan perkataan ‘nilai’ menurut
W.G.Ricky & Pustay, 1999 dan perkataan ‘murni’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka
perkataan ‘nilai murni’ boleh ditafsirkan sebagai prinsip, standard dan tatacara tindakan seseorang dalam sesuatu organisasi tanpa mengandungi unsur-unsur asing(biasanya unsur-unsur yang mencemarkan) bersih benar,suci, dan tulen. Dari definisi-definisi diatas dapatlah disimpulkan bahawa Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bermaksud usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu kempen itu akan dapat membuahkan hasil.
Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, dan maklumat yang tiada batasnya, masyarakat yang dahulunya tidak banyak terdedah dengan persekitaran sejagat sekarang segalanya berada dihujung jari seperti penggunaan internet di mana teknologi ini membolehkan rakyat Malaysia menggunakannya untuk mendapatkan maklumat. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan budaya bangsa Malaysia. Tanpa disedari budaya negatif boleh meresap dalam diri mereka dan mereka mungkin mengikut dan mengamalkan cara hidup tersebut. Penjajahan budaya hangat diperkatakan di mana remaja kini lebih cenderung memilih idola dari barat seperti penyanyi dan pelakon filem. Ramai yang begitu taksub dengan idola mereka sehingga sanggup meniru cara berpakaian yang menjolok mata, penggunaan perkataan yang kasar serta kesat, cara bergaul tanpa batasan, dan gaya hidup yang jelas melanggar tatasusila masyarakat dan agama. Penerapan nilai dan budaya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat mudah diterima jika masyarakat tidak diberi peringatan. Tapisan maklumat dari sumber-sumber yang sukar di kawal menjadi kemahiran yang perlu ada pada diri kita. Jika tidak penerapan nilai yang tidak sejajar dengan budaya kita akan diserap tanpa disedari.
Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Apabila kita kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi pengiktirafan kepada faktor-faktor di sekeliling kita tersebut.
Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli bahasa Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan,dimanadilakukandanapasebabnya.
Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat. Artikel ini akan melihat aspek ini.
Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni bukan penutur bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli bahasa Melayu belajar bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli bahasa Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yanglengkap.
Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur bahasa Melayu. Apakah agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan bahasa Melayu kacukan ini? Kemungkinannya penutur asli bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri yang mereka pamerkan.
RUMUSAN
Berbicara tentang kesantunan bahasa memang telah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa terkenal di Malaysia seperti Asmah Omar dan Awang Sariyan. Ini tidak termasuk kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli bahasa di universiti-universiti tempatan dan antarabangsa. Malah ruang lingkup kajian tidak hanya tertumpu kepada takrif kesantunan itu sendiri tetapi turut menyentuh perkara-perkara lain yang membicarakan persoalan tentang kesantunan bahasa dalam kalangan komuniti yang dikaji. Pemahaman tentang kesantunan bahasa bagi setiap golongan mungkin berbeza kerana ada yang berpendapat cukup sekadar memanggil orang tua dengan panggilan pak cik dan mak cik maka terserlah prinsip kesantunan tersebut.
Namun hakikatnya, banyak perkara yang perlu diteliti dalam menyelongkar maksud sebenar kesantunan bahasa dalam erti kata yang sebenar, di samping mencari inisiatif dalam meningkatkan kesantunan dalam kalangan masyarakat. Perbincangan di sini bukanlah hendak memberi fokus kepada perlakuan atau perbuatan fizikal yang tidak menunjukkan kesantunan. Tetapi memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa yang tidak sopan. Sekiranya hendak dibincangkan perlakuan yang tidak sopan dalam kalangan masyarakat hari ini, saban hari kita telah disajikan dengan berita-berita yang mengarah kepada perlakuan di luar sempadan kesantunan tersebut. Malah daripada pemaparan perlakuan yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besar perlakuan tidak sopan dan boleh mencapai kepada perlakuan yang lebih ganas.
Hakikatnya seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan bahawa kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang tertentu.
Lumrahnya, masyarakat akan melihat didikan daripada ibu bapa sebagai asas kepada pembentukan kesantunan bahasa. Ini sejajar dengan pernyataan Awang Sariyan bahawa asas kepada kesantunan bahasa adalah kepatuhan kepada peraturan bahasa. Namun demikian dalam realiti kehidupan seperti dalam percaturan sesuatu ceramah bagi tujuan berkempen dalam kalangan ahli politik mungkin ada sebahagian masyarakat beranggapan tidak memaparkan kesantunan bahasa. Justeru, di sinilah perlunya untuk melihat kepada peraturan penggunaan bahasa. Pihak lawan dan yang dilawan akan saling mencari idea dalam memancing undi para pengundi.
Maka peraturan bahasa tidak lagi diguna pakai dalam hal yang sedemikian. Walapun demikian tidak dinafikan masih ada lagi ahli-ahli politik yang patuh pada peraturan penggunaan bahasa ini, mungkin untuk mengelakkan dikatakan sebagai calon atau ahli politik yang biadap.
Jika asasnya bermula daripada didikan ibu bapa maka seharusnya kita mencari pendekatan yang benar-benar memudahkan kalangan ibu bapa dalam memberi pengetahuan dan praktikal kepada anak-anak. Ini kerana kita sendiri akan berasa malu sekiranya ada kalangan pelajar di peringkat pengajian tinggi masih terbawa-bawa dengan adap sopan santun dengan orang tua yang mungkin telah diterima dari sejak kecil untuk memanggil golongan tua dengan panggilan mak cik dan pak cik.
Walaupun nampak tidak ada kewajarannya bagi situasi ini untuk seorang yang terpelajar memanggil seorang pensyarah dengan panggilan mak cik atau pak cik hanya kerana pensyarah tersebut sudah kelihatan agak tua. Tetapi itulah kebenarannya.Kalau kita menjadikan pakaian kita sebagai cara untuk menutup segala keaiban fizikal kita, maka ini juga merupakan suatu bentuk kesantunan. Dalam memperkatakan kesantunan berpakaian sudah tentu banyak perkara yang perlu diteliti bukan sekadar sehelai kain yang menutup tubuh seseorang tetapi yang perlu dilihat adalah lebih daripada itu seperti jenis kain, saiz pakaian, ketebalan kain dan sebagainya.
Jika dilihat daripada perspektif bahasa, kesantunan bahasa menjadi pakaian harian kepada individu. Ini kerana setiap hari kita tidak dapat lari dalam berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling kita. Maka di sini peraturan penggunaan bahasa amat dititik beratkan.
Dalam situasi formal dan tidak formal penggunaan bahasa yang seharusnya diambil perhatian sudah tentu berbeza. Peraturan bahasa yang menjadi asas kepada kesantunan bahasa, seperti yang dikatakan oleh Asmah Omar perlu dilihat kepada tiga jenis iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik.
Secara ringkas peraturan linguistik memberi penelitian terhadap sebutan dan nahu, manakala peraturan sosiolinguistik melibatkan peraturan dalam berkomunikasi atau berinteraksi dan seterusnya peraturan pragmatik menyentuh tentang keberkesanan tujuan komunikasi tersebut.
Berdasarkan kepada peraturan bahasa ini bermakna setiap satu melibatkan konteks yang berbeza.
Hanya kita sebagai masyarakat mungkin tidak dapat membezakan dan mungkin tidak sedar bahawa setiap bentuk perlakuan dan penggunaan bahasa seharian kita ini, sebenarnya telah mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Kebiadapan individu dalam berkomunikasi akan mencetuskan pelanggaran peraturan ini, akibatnya komunikasi akan gagal. Jadi bagaimanakah seharusnya sebagai ibu bapa dan juga masyarakat kita dapat mendidik anak-anak kita agar benar-benar mengikut peraturan tersebut? Dalam hal ini, sebagai masyarakat biasa, pemahaman terhadap setiap peraturan tersebut cukuplah sekadar dengan kita memahami peraturan penggunaan bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang sekitar kita.Juga pada dasarnya perlulah melihat juga kepada kesesuaian keadaan, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak.
Kekangan dalam memastikan setiap anggota masyarakat patuh pada peraturan ini dalam penggunaan bahasa mungkin agak sukar. Ini terutamanya jika individu tersebut terlalu cepat terpengaruh dengan penggunaan bahasa tidak sopan yang dipaparkan dalam internet atau mungkin dalam media massa. Oleh itu masyarakat yang menjadi pemerhati atau penilai bagi penggunaan bahasa dalam kalangan komuniti atau di luar komuniti mereka, juga perlu bertindak mengikut peraturan ini. Bahkan dengan melarikan diri daripada sebarang peraturan bahasa ini akan meletakkan masyarakat tersebut kepada pengabaian kesantunan bahasa.
RUJUKAN
1) http://sosiolinguistik.blogspot.com/
2) http://www.berita-harian-online.com/minda-hilang-budaya-santun/
No comments:
Post a Comment