Wednesday, August 8, 2012
Tatabahasa
ABSTRAK
Untuk tujuan meneliti dan memgetahui Kesan Penggunaan Penanda Wacana terhadap konsep penggunaan bagi pencapaian pelajar dalam penulisan atau pertuturan setiap pelajar, guru perlu menguasai kemahiran dalam penggunaan ayat terutama pada wacananya. Dalam hal ini penglibatan sama ada keutuhan wacana,fungsi wacana,kepentingan wacana,jenis-jenis wacana dan penanda wacana perlu dititik beratkan dikalangan pelajar agar laras bahasa yang digunakan seharian mencerminkan bahasa melayu yang betul sama ada dari bentuk strukturnya,perbendaharaan kata dan wacananya. Sebagaimana diketahui ramai bahawa wacana adalah peringkat pembentukan ayat yang paling tinggi kedudukannya. Oleh sebab itulah penggunaan penanda wacana yang tepat akan mampu menghubungjalinkan serta menyempurnakan pertautan isi dalam penulisan. Kemahiran penggunaan penanda wacana yang betul dan bertepatan akan dapat menggambarkan seseorang itu mahir dalam penggunaan bahasa. Dengan adanya penanda wacana kita akan dapat menilai dan mengetahui mutu perkembangan sesuatu ayat yang dibentuk.
PENGENALAN
Menurut kamus dewan edisi keempat penanda wacana bermaksud keseluruhan tutur yang merupakan satu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan. Perbincangan atau pertukaran idea secara lisan.Kesatuan fikitan yang utuh, sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan. Menurut teks pra-u STPM pula wacana didefinisikan sebagai unit bahasa yang mempunyai kesantunan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat. Dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi, iaitu hadir selepas tingkat ayat. Namun begitu definasi yang lebih tepat untuk menggambarkan maksud sebenar penanda wacana ialah bermaksud perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan satu idea dengan satu idea lain dalam perenggan. Digunakan untuk memantapkan lagi keutuhan wacana bagi mengaitkan perenggan dengan perenggan. Kegagalan dalam penggunaan penanda wacana yang tepat akan menyebabkan keseluruhan wacana tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap.
Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana.
Fonologi merupakan kajian mengenai fonem sebagai unit bahasa. Sintaksis pula mengkaji ayat sebagai unit bahasa, binaan serta konstruksinya. Bagaimanapun kebolehan menguasai bidang-bidang ini hanya menjamin kebolehan menggunakan sistem dan peraturan-peraturan tatabahasa sahaja.
Tingkat-tingkat fonem, morfem, kata. frasa, klausa, dan ayat merupakan peringkat bentuk; manakala wacana merupakan peringkat fungsi.
Kamus Dewan mentakrifkan wacana sebagai:
i. keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan'
ii. kesatuan fikiran yang utuh, sama ada dalam bentuk lisan (seperti pidato, khutbah) atau tulisan (seperti surat, aartikel, novel, cerpen).
Wacana ialah satu unit bahasa yag lengkap . Ia melebihi tingkat ayat.
Oleh kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut:
a. pendahuluan
b. tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan, cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. graf, jadual, peta dan statistik.
d. penutup
Antara contoh penanda wacana yang lazimnya ditemukan dalam sesebuah penulisan ialah selain itu, di samping itu, walau bagaimanapun, apatah lagi, lebih-lebih lagi, jika demikian, oleh sebab itu, oleh itu, justeru, lantaran itu dan namun begitu. Para guru sering mengingatkan para pelajar agar tidak melupakan penanda wacana semasa menulis karangan kerana selain dapat membantu mereka menghasilkan pertautan idea, karangan yang dibina dengan menggunakan penanda wacana yang sesuai akan kelihatan lebih mantap. Penggunaan penanda wacana yang tepat pada tempatnya menunjukkan kematangan para pelajar ataupun seseorang penulis menggunakan bahasa dengan baik. Namun begitu, kadangkala berlaku kesalahan penggunaan penanda wacana yang berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang cara menulis, fungsinya serta aspek tatabahasa yang perlu dipatuhi. Misalnya, tidak meletakkan tanda koma ( , ) selepas penanda wacana yang berfungsi sebagai frasa.
HURAIAN EMPAT FUNGSI PENANDA WACANA
Terdapat empat fungsi penanda wacana. Fungsi-fungsi tersebut diterangkan di dalam subtopik seterusnya.
Fungsi menunjukkan maksud:
• Tambahan;
• Sebaliknya;
• Sebab; dan
• Ketika.
1. BAGI TUJUAN MENUNJUKKAN MAKSUD TAMBAHAN
Antara contoh penanda wacana yang menggunakan tujuan menunjukkan maksud tambahan ialah : -
- Ini bererti
- Sejajar dengan ini
- Pendek kata
- Justeru
- Sebagai tambahan
Contoh ayat yang menggunakan penanda wacana tambahan pula ialah :-
1. Sebagai tambahan kepada tugasan yang telah diberi, pelajar dikehendaki menulis sebuah karangan pada masa cuti.
2. Ini bererti, di samping bercuti pelajar terpaksa membuat ulang kaji bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun.
3. Sejajar dengan ini, guru digalakkan mengadakan kelas tambahan bagi membantu
pelajar menghadapi peperiksaan.
4. Justeru, pelajar patut merebut peluang keemasan ini yang hanya datang sekali seumur hidup.
5. Pendek kata, pelajar harus bersikap seperti pepatah Melayu yang berbunyi, "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."
2. BAGI TUJUAN MENUNJUKKAN MAKSUD SEBALIKNYA
Antara contoh penanda wacana yang menggunakan tujuan menunjukkan maksud sebaliknya ialah : -
- Sungguhpun
- Berbanding dengan
- Dalam masa yang sama
- Sebaliknya
- Walau bagaimana sekalipun
Contoh ayat yang menggunakan penanda wacana sebaliknya pula ialah :-
1. Sungguhpun keluarganya miskin, Ali tetap belajar dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam peperiksaan.
2. Dalam masa yang sama, dia mengambil upah menjual nasi lemak setiap hari sebelum ke sekolah.
3. Walau bagaimana sekalipun rintangan dan cabaran yang dihadapi, Ali tetap bertekad untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
4. Sebaliknya, dia tetap berusaha dan berdoa semoga impiannya menjadi kenyataan.
5. Berbanding dengan Azman, Zamri lebih cekap dan mahir dalam melaksanakan
tugas yang telah diberi oleh guru.
3. BAGI TUJUAN MENUNJUKKAN MAKSUD SEBAB
Antara contoh penanda wacana yang menggunakan tujuan menunjukkan maksud sebaliknya ialah : -
- Berdasarkan
- Berpegang pada
- Sekiranya begitu
- Akibatnya
- Kesudahannya
1. Berdasarkan prestasi peperiksaan akhir tahun, guru-guru berkeyakinan penuh bahawa Suria boleh berjaya dengan cemerlang.
2. Berpegang pada janji yang telah dibuat kepada ibubapanya, Suria terpaksa bertungkus-lumus siang dan malam menelaah pelajaran untuk berjaya dalam peperiksaan.
3. Sekiranya begitu sikap yang diamalkan Suria, mudah-mudahan Allah akan memakbulkan doanya untuk lulus dengan cemerlang.
4. Kesudahannya Suria muncul sebagai pelajar terbaikdalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.
5. Ah Leng membuka sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan daripada Pendaftar Syarikat. Akibatnya, syarikat itu telah diharamkan daripada beroperasi.
4. BAGI TUJUAN MENUNJUKKAN MAKSUD KETIKA
Antara penanda wacana yang menunjukkan
maksud ketika ialah:
- Merujuk
- Berbalik kepada
- Akhirnya
- Sementara itu
- Sejenak kemudian
Antara contoh penanda wacana yang menggunakan tujuan menunjukkan maksud ketika ialah : -
1. Merujuk keterangan saksi, mahkamah mendapati bahawa Encik Selvam terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Setiawangsa tiga tahun yang lalu.
2. Sementara itu, peguam bela Encik Selvam menyatakan bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
3. Akhirnya, kes itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Rayuan setelah Encik Selvam berjaya dalam tuntutannya.
4. Sejenak kemudian, Encik Selvam memeluk peguam bela dan anak-anaknya sambil menitiskan air mata.
5. Berbalik kepada kejayaan itu peguam bela EncikSelvam berjanji akan berusaha membebaskan anak guamnya yang dipercayai telah dianiayai oleh pihak-pihak tertentu.
Keutuhan wacana dapat dikesan melalui wujudnya susunan yang berurutan atau teratur dalam sesuatu wacana. Ciri ini sangat penting kerana ciri inilah yang menentukan sesuatu ujaran atau tulisan itu mengandungi wacana atau hanya merupakan kumpulan ayat yang tidak teratur. Terdapat dua aspek penting yang menghasilkan wacana yang utuh, iaitu :
a) Terdapatnya urutan atau koheren, (kesinambungan idea yang menjadikan wacana itu suatu teks yang bermakna dan dapat difahami).
b) Wujudnya tautan atau kohesi, (keserasian hubungan antara suatu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain).
Seterusnya, keutuhan wacana dapat dianalisis daripada wujudnya hubungan daripada aspek semantik, leksikal, dan gramatikal antara bahagiandalam sesuatu wacana. Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi merangkai ayat untuk melanjutkan sesuatu maklumat. Kegagalan dalam penggunaan penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh wacana tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap.
Kata penghubung
-tetapi -lalu -jika
-serta -agar -supaya
-sungguhpun -kerana –walaupun
Penambahan
-dan -sebenarnya -juga
-sekali lagi -bertitik tolak -hal ini
-tambah lagi -lebih-lebih lagi -selain juga
Perbandingan/ Perbezaan
-tetapi -dalam nada yang berbeza -selain itu
-walaupun -sehubungan dengan - sebagaimana
-sebaliknya -jika dibandingkan dengan -sama dengan
-berbeza dengan -walau bagaimana sekalipun -selari dengan
-walau bagaimanapun -setelah dibandingkan dengan -namun demikian
Turutan
-pertamanya -akhirnya -selain itu
-keduanya -seterusnya -pertama sekali
-selepas itu -lebih awal dari itu -lebih penting lagi
Contoh
-contohnya -biar kita ambil contoh -khususnya
-misalnya -mari kita mengambil contoh -terutamanya
-umpamanya -apa yang dimaksudkan –seperti
persamaan sebagai umpama (misal), misalan, contoh: satu tamsil lagi, adalah keruh bumi ini umpama kelapa dlm air; 2. ajaran yg terkandung dlm sesuatu cerita, ibarat: terkadang-kadang ia menyanyi dan melagukan pula beberapa gurindam yg mengandungi ~ dan ibarat;
bertamsil menggunakan tamsil (contoh);
Masa
-akhirnya -pada masa yang sama -sesekali
-dewasa ini -pada ketika itu -sebelum ini
-selepas itu -pada mulanya -semenjak itu
-sementara itu -serentak dengan -ada ketikanya
Kesimpulan
-oleh itu -jadi -kesimpulannya
-jika kita tidak -jelaslah -dapatlah disimpulkan bahawa
-kesudahannya -sesungguhnya -tanpa (penglibatan/ usaha, dsb.)
-pendek kata -walaupun -oleh hal yang demikian
-ringkasnya -marilah kita -komitmen semua pihak
-sebagai rumusan -demikianlah -dapatkah kita membayangkan..
-kejayaan...bergantung pada -pada keseluruhannya -sebagai menggulung hujah
-keengganan... bakal menyaksikan -(peribahasa)
-sebelum saya mengakhiri, saya menegaskan sekali lagi...
Penanda wacana umum
-dengan ini -banyak pihak yang berpendapat -amnya
-sememangnya -selaras dengan -lazimnya
-sejajar dengan sering kali kita -justeru itu
-sementelahan pula -secara khususnya -pada kebiasaannya
Menurut keterangan daripada modul OUM pula:
• Oleh itu merupakan penanda wacana yang melanjutkan idea sebelum ini dengan idea yang berikutnya.
Contoh: “Oleh itu, haruslah kamu berdua bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan ini.”
• Dengan itu merupakan penanda wacana yang digunakan untuk melanjutkan idea.
Contoh: “Dengan itu, tamatlah upacara kita pada pagi ini.”
• Dengan demikian ialah penanda wacana yang melanjutkan idea.
Contoh: Dengan demikian, karikatur politik menjadi lebih pedas, kasar, keterlaluan dan langsung terkena batang hidung tokoh berkenaan selepas krisis politik tahun 1998.
• Akhirnya merupakan penanda wacana yang menunjukkan kesimpulan kecil bagi keseluruhan gagasan atau idea dalam perenggan tersebut.
Contoh: “Akhirnya, dapat juga aku petik bunga harum mekar malam ini.”
• Penanda wacana yang terakhir ialah Sebagai kesimpulannya yang merupakan simbol atau tanda yang menunjukkan bahawa penulis akan menamatkan perbincangan bagi keseluruhan idea atau gagasan yang dibincangkan dalam tajuk.
Contoh: Sebagai kesimpulannya, sehingga kini, belum ada iklan yang boleh dikatakan berjaya menyampaikan mesej yang cuba mengangkat bahasa Melayu dan mempertahankan kedaulatannya dengan tepat.
• Penanda wacana Jelaslah merupakan penegasan sekali lagi idea keseluruhan yang terdapat dalam perenggan pertama. Penegasan ini pula diikuti dengan huraian lanjutan.
Contoh: Jelaslah, pada era siber ini, bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda dunia yang lain terdedah dengan pelbagai ancaman dan cabaran.
• Sungguhpun merupakan kata yang menunjukkan pertentangan idea atau gagasan antara frasa ’kelihatan orang di negara maju seronok’ dengan ’keseronokan mereka tidak berpunca daripada ketenangan jiwa’.
Contoh: Sugguhpun begitu, hal ini tidak bermakna satu-satu bahasa tersebut adalah lebih kaya atau lebih miskin daripada bahasa yang lain dari segi dalamannya.
• Penanda wacana Maka itu merupakan kesimpulan kecil bagi perenggan yang kedua.
Contoh: Maka itu, karikatur penghinaanm khususnya yang melibatkan soal akidah dan kepercayaan, penerbitannya tidak patut dibenarkan sama sekali.
CADANGAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN PENANDA WACANA DALAM KALANGAN PELAJAR
Sesuai dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia yang mendokong peranan sebagai bahasa ilmu pengetahuan (Akta Pendidikan, 1996), bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi mata-mata pelajaran di sekolah kebangsaan, kecuali Matematik dan Sains mulai 2004 (Sharifah Maimunah, 2004) serta sebagai satu mata pelajaran wajib, termasuklah di sekolah rendahjenis kebangsaan (Cina dan Tamil). Pada akhir tahun keenam persekolahan rendah, lulusannya dijangka mencapai suatu tahap penguasaan bahasa Melayu yang membolehkan mereka bersedia untuk mengikuti pelajaran dalam bahasa berkenaan pada peringkat menengah serta institusi-institusi pendidikan yang lebih tinggi. Penawarannya sebagai mata pelajaran sekolah kebangsaan berasaskan penumpuan khusus pada dua tahap persekolahan. Bagi kemahiran menulis, pengajaran pada Tahap I (Tahun 1 hingga Tahun 3) tertumpu pada kemahiran menulis asas, iaitu mengenal dan menulis abjad, mencantumkannya menjadi kata, frasa, dan ayat, sementara Tahap II (Tahun 4 hungga Tahun 6) menekankan kemahiran menulis fungsian, iaitu untuk melahirkan idea dan perasaan bagi memenuhi fungsi komunikasi. Penekanan pengajaran kemahiran menulis amat penting bukan sahaja untuk tujuan pencarian ilmu pengetahuan, tetapi juga bagi memenuhi fungsi sosial dalam aktiviti kehidupan harian. Bagi tujuan itu, murid sekolah haruslah mencapai suatu tahap literasi yang sesuai untuk memenuhi kedua-dua fungsi berkenaan.
Kemahiran menulis sebenarnya meruapakan kemahiran berbahasa tertinggi yang berkembang selari mengikut perkembangan otak dan pengalaman berbahasa seseorang. Sebagai kemahiran bahasa, fungsinya ialah untuk tujuan berkomunikasi dan menyelesaikan pelbagai urusan dalam aktiviti harian yang meliputi bidang pendidikan, sosial, dan pekerjaan. Berdasarkan premis yang berkaitan fungsinya sebagai alat komunikasi, sebuah kajian yang menggunakan model komunikatif (Hymes, 1972; Canale, 1983; Allen dan rakan-rakan, 1983; Bachman, 1990; Hutchinson, 1990) telah dijalankan oleh satu pasukan penye1idik dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2003. Kajian yang mendapat peruntukan kewangan di bawah Fundamental research Grant Scheme (FRGS) dilakukan bagi menilai tahap penguasaan kemahiran menulis dalam bahasa Melayu murid sekolah kebangsaan. Pengumpulan data adalah meliputi sampel di Semenanjung Malaysia untuk digunakan dalam pembinaan jadual matriks yang mengandungi tanda aras kemahiran menulis murid sekolah kebangsaan dari Tahun 2 hingga Tahun 6.
Contoh ayat karangan
Kebanyakan negara maju di Barat berhadapan dengan masalah keruntuhan institusi kekeluargaan. Ringkasnya, konsep keluarga agak longgar dalam masyarakat mereka. Oleh itu terdapat segolongan orang Barat yang begitu mendewa-dewakan kepentingan dan kebebasan diri. Mereka lebih suka hidup bersendirian. Dengan kata lain, mereka tidak suka terikat dengan peraturan dan sistem nilai masyarakat. Dengan itu, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja secara bebas. Para remaja pula tidak mahu menerima sebarang kawalan daripada ibu bapa. Dengan demikian, bilangan anak muda yang bersikap liar dan tidak sopan semakin meningkat. Akhirnya masyarakat Barat menghadapi masalah sosial yang besar dan serius.
Jelaslah bahawa apabila institusi kekeluargaan telah runtuh, kemajuan sudah tidak memberi makna yang sepatutnya. Apa gunanya kemajuan kebendaan jika kehidupan harian tidak begitu selamat, muram, dan diserang sakit jiwa? Sungguhpun kelihatan orang-orang di negara maju ini seronok, namun keseronokan mereka tidak berpunca daripada ketenangan jiwa. Maka itu, masalah sosial dalam masyarakat mereka menjadi begitu ketara dan semakin parah.
Namun begitu, masyarakat yang mundur dan miskin juga turut menghadapi masalah yang sama. Sebenarnya, masalah ini tidak mengenal jenis masyarakat. Sebagai kesimpulannya, meskipun kita perlu meneruskan usaha-usaha pemodenan tetapi kita hendaklah mengelakkan diri daripada terperangkap oleh gejala keruntuhan institusi-institusi kemasyarakatan.
KESIMPULAN
Penanda wacana adalah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi mempertalikan ataupun menghubungkaitkan sesuatu idea, hujah, dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, ia akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Kegagalan dalam penggunaan penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh wacana tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Ini akan menyebabkan maksud keseluruhan ayat itu akan lari dari maksud asal.
Tidak dapat dinafikan bahawa sebuah penulisan karangan yang baik ialah karangan yang mempunyai isi yang banyak, huraian yang bertepatan dengan tajuk dan bertepatan dengan tajuk. Walau bagaimanapun, sekiranya sesebuah karangan itu tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai, maka sudah tentu karangan itu akan menjadi tidak sempurna dan pincang dari segi kesempurnaannya disebabkan binaan ayatnya yang tidak gramatis. Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan. Oleh sebab itulah penggunaan sesuatu penanda wacana sangat penting untuk menentukan maksud asal sesuatu ayat.
Pelajar yang kurang mahir dengan penggunaan sesuatu penanda wacana akan dapat dikesan ketika mewujudkan kesinambungan idea. Ini akan dapat dikesan jika seseorang pelajar itu yang tersilap memilih penanda wacana. Ini akan mengakibatkan sesuatu hasil penulisan itu akan hilang pertautan isi dalam penulisan. Keadaan ini secara automatiknya akan melemahkan pengolahan dan seterusnya mengakibatkan penyampaian penulisan menjadi kabur dan tidak tersusun. Sebutan akan menjadi janggal.
Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, ia akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Banyak pelajar tidak mendapat markah yang baik kerana pembentukan ayat yang lemah. Hal ini demikian kerana pembinaan ayat tidak berkesinambungan dan tidak mempunyai hubung kait yang rapat dan mesra diantara patah-patah perkataan yang digunakan.
Dalam sesebuah hasil penulisan yang baik dan bermutu, penggunaan penanda wacana atau dikenal juga sebagai perangkai ayat dapat memastikan wujud kesinambungan dan pertautan antara satu idea dengan idea yang lain. Kewujudannya dalam sesuatu wacana secara berkesan akan memantapkan hasil penulisan tersebut selain dapat membuat perkaitan antara ayat dengan ayat, mahupun antara perenggan dengan perenggan. Dalam usaha mengemukakan contoh dalam huraian ,penggunaan frasa yang sesuai diperlukan juga dan hendaklah mengikut kesesuain konteks ayat juga Jelaslah,aspek penanda wacana akan mempengaruhi pengolahan,sturktur ayat,pemerenggan ,kosa kata, dan bahasa secara keseluruhannya yang sangat diperlukan dalam usaha menghasilkan sebuah karangan yang baik.Contoh-contoh yang dipaparkan di atas diharap dapat dijadikan garis panduan kepada pelajar dalam menghasilkan sebuah karangan yang berkualiti.
2537 patah perkataan sahaja.
APENDIKS
RUJUKAN / REFERENSI
Adenan Ayub Dr (2011). HBML3203 Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu. OPEN UNIVERSITI MALAYSIA.
Ab. Rahman Ab. Rashid & Yap Kim Fatt (1997). Bahasa Melayu Komunikasi 1. Kuala Lumpur. Longman Sdn. Bhd
.
Siti Hajar Abdul Aziz (2008). Bahasa Melayu 1. Kuala Lumpur. Oxford Fajar Sdn. Bhd
Harimurti Kridalaksana. (1982). Kamus linguistik. Jakarta: P.T. Gramedia.
Leman Ahmad. (1984). Air biru ombak biru. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Raminah Hj. Sabran, Rahim Syam (1985), Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007), Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharifah Nor Syed Abd Rahman, Nornajmah Najmuddin, Rosdah Omar (2007), Bahasa Melayu Kertas 1&2 teks dan rujukan lengkap, Arah pendidikan Sdn. Bhd.
cikgutancl.blogspot.com/2008/07/penanda-wacana.html
www.scribd.com/doc/36092679/PENANDA-WACANA
www.tutor.com.my/stpm/wacana.htm
www.tutor.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment