Monday, March 21, 2011

batik dan songket 2011

ISI KANDUNGAN
Tajuk/Subtajuk Muka surat
1.0 PENGENALAN 3
2.0 LATAR BELAKANG KAJIAN 4
2.1 Pendahuluan 4
2.2 Definisi Batik 4
2.3 Definisi Songket 6
3.0 KAJIAN TENTANG CORAK PADA TEKSTIL
BATIK & SONGKET TRADISIONAL MELAYU 7
3.1 Batik 7
3.1.1 Kaedah Kajian 7
3.1.1 Menggambar 8
3.1.2 Analisa 8
3.1.3 Interpretasi 9
3.1.4 Penilaian 9
3.2 Songket 10 3.2.1 Menggambar 10
3.2.2 Analisa 10
3.2.3 Interpretasi 11
3.2.4 Penilaian 11
2.0 RUMUSAN 11
Rujukan





1.0 PENGENALAN
Dalam konteks Pendidikan Seni Visual KBSR, kandungannya terbahagi kepada empat bidang iaitu Menggambar, Membuat Rekaan Corak, Membentuk dan Membuat Binaan dan Kraf Tradisional. Dalam penulisan ini fokus kajian ialah berkaitan dengan kegiatan Membuat Rekaan dan Corak.
Menurut Modul OUM HBAE 2103 Membuat Corak dan Rekaan, mendefinisikan corak ialah susunan motif sama ada secara teratur atau secara bebas. Oleh itu, corak terdiri daripada corak terancang dan corak tidak terancang. Corak juga boleh terbentuk daripada bukan motif secara bebas atau corak tidak terancang. Antara teknik yang dapat menghasilkan corak terancang ialah teknik resis, anyaman, garisan grid serta beberapa teknik lainnya. Manakala corak tidak terancang pula termasuklah corak teknik cerminan, pualaman, tiupan atau lain-lain teknik yang hasilnya berlaku secara tidak sengaja.
Corak tradisi pula merupakan corak yang mempunyai motifnya tersendiri dan mempunyai nama-nama tertentu yang berunsur tradisi. Antara corak terkenal dalam seni budaya Melayu ialah corak bunga buluh, corak pucuk rebung, corak bunga kiambang dan sebagainya.
Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses kraf. Bentuk-bentuk motif dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu motif organik dan motif geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan. Motif geometri pula berbentuk empat segi, segi tiga, bulat dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, corak merujuk kepada olahan motif secara kreatif dari pelbagai rekaan dan gubahan. Susunan motif membentuk susunan corak yang menarik, dapat dilihat memberi nilai budaya dan berfungsi kepada tekstil. Kajian ini akan melihat kepada contoh-contoh daripada tekstil batik dan songket tradisional Melayu, yang membincangkan corak dari sumber motif yang pelbagai diolah dan disusun bagi membentuk keaslian dan keunikan kedua-dua tekstil tersebut.

2.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
2.3 Pendahuluan
Secara turun-temurun apa-apa peninggalan daripada nenek moyang adalah diwarisi. Begitu juga dengan hasil seni yang ada kini adalah warisan sejak berzaman lamanya. Masyarakat Melayu begitu kaya dengan warisan seni yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Seni batik, songket, tenunan, sulaman, tekat dan ukiran umpamanya adalah antara seni halus yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Kreativiti dan kehalusan seni begitu jelas terpancar dalam setiap hasil kerja tangan tradisional ini. Hasil seni atau kraftangan yang dihasilkan seakan tidak terlawan oleh hasil seni yang dihasilkan pada zaman ini.
Kraftangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional. Hasilnya ialah suatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan yang termasuklah apa-apa barang, bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk tradisi pada mana-mana bahagiannya.
Kraf adalah barangan yang dihasil dengan menggunakan kemahiran tangan, dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan secara sendiri atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf.
2.2 Definisi Batik
Umumnya, perkataan ‘batik’ ialah gabungan dua perkataan Melayu dan Jawa yang bermaksud menulis secara menitik sepertimana definisi-definisi beberapa pengkaji berikut. Merujuk Pauziah Hj. Abdullah (1983:42) menjelaskan perkataan ‘batek’ mempunyai dua pengertian. Perkataan batik yang berasal dari Indonesia bererti rintik-rintik yang putih yang ada pada kain-kain yang diwarna dan dicorakkan.
Pengertian kedua ialah kain-kain putih diterapkan di atasnya dengan menggunakan blok-blok atau acuan-acuan tertentu yang diperbuat daripada kayu, tembaga atau besi dengan penggunaan lilin, damar atau rosin; kemudian kain putih itu diwarnakan melalui proses mencelup dalam perwarna. Warna-warna juga disapu dengan menggunakan berus lukisan. Pada umumnya warna-warna yang digunakan ialah hitam, biru, coklat dan kuning.
Manakala Abdullah Mohamed (1990:13) menyatakan definisi yang sama iaitu perkataan ‘batik’ berasal dari Indonesia dari perkataan Melayu untuk ‘titik’ dan perkataan Jawa ‘mba’ ertinya ‘menulis’. Oleh ini, ‘batik’ bererti ‘menulis titik-titik’ yang dimaksudkan di sini sama ada berupa titik-titik dalam ertikata yang sebenarnya atau berupa bunga-bunga dan lain-lain motif kecil-kecil di atas permukaan kain putih. Kemudian, teknik untuk mewujudkan motif-motif itu tergantung pada zaman dan ruang.
Dalam perenggan ini dinyatakan secara ringkas struktur rekaan kain batik sarung tradisional. Di Malaysia dan juga Indonesia ragam hias mengekalkan teknik dan ragam hias tradisi. Manakala dari segi warna untuk reka corak pada bahagian ‘badan kain’, warna yang digunakan masih terbatas. Warna-warna yang sering digunakan ialah hitam, merah kuning dan biru. Warna-warna campuran tidak dapat sebati bagi menghasilkan warna baru (seperti biru + kuning = hijau), yang bersih. Warna ini sering dijadikan ‘tanah kain’. Ini menunjukkan bahawa reka corak tradisi pada bahagian ‘badan kain’ batik ini hanya menggunakan celupan warna-warna asas seperti yang telah dijelaskan oleh Siti Zainon Ismail (1980:273) tadi. Boleh difahami bahawa elemen tradisional kain batik sama ada di Malaysia dan Indonesia ini lebih menjurus kepada teknik dan ragam hias yang dihasilkan menerusi proses penerapan lilin seperti canting dan blok.
Alatan yang biasanya digunakan untuk proses membuat batik ialah blok penerap, campuran lilin, kain, pencelup dan sebuah meja. Kain benang kapas berwarna putih merupakan yang sesuai untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok, dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.
Batik terbahagi kepada tiga jenis iaitu batik blok, batik conteng dan batik skrin. Batik blok menggunakan blok corak yang diperbuat daripada kayu atau logam diterap berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Batik conteng juga dikenali sebagai batik canting atau batik lukis. Manakala batik skrin pula merupakan kaedah melakar corak pada diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang, kemudian warna disapu menggunakan sekuji.
2.3 Definisi Songket
Kain songket merupakan tenunan yang dihasilkan daripada jalinan benang longsin (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang). Proses pada asasnya mudah ini dapat menghasilkan ciptaan seni tampak yang indah dan menjadi kebanggaan bangsa. Pusat tenunan di Semenanjung bermula di Terengganu. Pada masa ini, negeri di Pantai Timur Semenanjung iaitu Terengganu dan Kelantan adalah menjadi dua pusat pengeluaran utama produk kain tenunan.

Nama “kain songket” berasal daripada teknik membuat songket, iaitu menyongket atau menyolek bunga (emas) pada tenunan sutera. Pada amnya songket terbahagi kepada dua jenis, iaitu tekat tiga dan tekat lima. Nama tekat itu berkaitan dengan penggunaan bilangan lembaran benang sutera dan jarak antara lembaran benang emas yang disongket. Tekat tiga lebih sukar dan rumit daripada tekat lima dan hasilnya lebih halus. Penggunaan benang emas yang dikembar dua yang dilakukan dengan selembar benang sutera akan menghasilkan tenunan yang lebih bermutu dari segi teknik dan kesan atau nilai estetiknya.

Tenunan sutera mempunyai corak yang mudah seperti corak Muar (susun melintang dan berdiri); corak Bugis (susunan bersegi kecil), corak melintang tapak catur, kain limar, kain pelangi, corak parang, rosak, hingga ke tenunan songket dengan corak bintang bertabur, jong sarat, dan teluk berantai.

Berikut dinyatakan secara ringkas struktur rekaan songket tradisional. Reka bentuk kain songket mengandungi badan, kepala, pucuk rebung, atau bunga lawi ayam (dalam bentuk pucuk rebung), diapit di antara kepala dan tepi kain. Kain songket menggunakan warna seperti merah asam jawa, merah darah ikan, merah jambu, kuning penang masak, kuning lemak ketam, kuning tanah liat, kuning kunyit, hijau pucuk pisang, hijau serindit, hijau batang bemban, hijau lumut, hijau terusi, biru air laut, biru manis, ungu biji rembia (butir setar), ungu manis, kelabu asap, dan hitam. Proses menenun adalah sama bagi kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia. Perbezaannya mungkin terdapat dalam penggunaan alat-alat tenunan, istilah-istilah yang diberikan kepada proses menenun dan corak bunga songket yang digunakan.

Antara motif songket yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan ialah pucuk rebung, bunga lawi ayam, bunga baling, tapak kecupu, bunga tanjung, bunga cermai, bunga setelop, tampuk kesemak, tampuk manggis, dan buah delima. Manakala corak-corak songket yang abstrak dinamakan kasap, pecah lapan, tapak kacip, potong wajik, bunga tiga dara, bunga logam, bunga kerongsang, dan jong sarat. Motif yang diilhamkan daripada alam sekitar pula dinamakan bintang buta, air molek, awan larat, dan teluk berantai. Manakala motif yang berilhamkan haiwan pula termasuklah bunga lawi ayam, unduk-unduk, bunga hati, mata bilis dan sisik kelah.

Pada amnya menenun songket terdiri dari proses mencelup benang, melerai benang, menganeng, menggulung, menyapuk benang, menyongket dan menenun. Proses ini diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke generasi yang lain oleh penenun yang mahir. Penenun ini hanya menyampaikan pengetahuan dan kemahiran menenun kepada anak-anak dan cucu-cicit yang berminat sahaja.
3.0 KAJIAN TENTANG CORAK PADA TEKSTIL BATIK & SONGKET TRADISIONAL MELAYU
3.1 Batik
3.1.1 Kaedah Kajian
Rekaan dan corak merupakan suatu asas utama dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Pada dasarnya, tanpa rekaan dan corak, hasil seni baik yang tradisional mahupun yangmengikut zaman akan tidak terhasil dengan sempurna.
Reka corak didefinisikan sebagai suatu bentuk kreativiti artistik yang dapat memenuhi keperluan domain kognitif, psikomotor dan afektif.
Reka corak terancang dan tidak terancang mewujudkan kesan tampak yang berbeza tetapi memerlukan kemahiran, kesedaran dan pengetahuan seni untuk menghasilkannya. Mencipta reka corak melibatkan proses latihan berfikir yang berhubung dengan asas rekaan dan prinsip rekaan.
Reka corak terdapat dalam seni bina, hiasan dalaman, lanskap, kraf dan sebagainya.
3.1.1 Menggambar











Rajah 1: Sample dan rupa bentuk kain batik sarung yang dikaji
Kain batik yang dipilih sebagai subjek kajian ialah batik Terengganu milik paangan penulis yang dibeli di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. Pada gambar di atas dapat dilihat dengan jelas corak, motif, teknik dan warna masih mengekalkan elemen warisan tradisional. Berkaitan reka coraknya pula, ia diolah secara tradisi. Begitu juga dengan reka letak yang juga masih tidak berbeza dengan kain batik tradisional.
3.1.2 Analisa
Batik yang dikaji memaparkan tiga elemen yang boleh dibincangkan. Ia termasuklah corak, motif dan warna.
Kain batik sarung di atas disusun dengan susunan corak terancang. Walaupun nampak seolah-olah tidak terancang tetapi sebenarnya blok yang ditekap pada kain putih asalnya sebenarnya dirancang kedudukannya. Motif yang digunakan terdiri daripada motif flora dan fauna. Motif flora dapat dilihat ialah daun-daun dan ranting pokok. Motif fauna pula ialah burung-burung yang seakan hinggap pada dahan atau pun ranting pokok. Warna yang digunakan pada bahagian tanah ialah kuning pudar yang begitu kontra dengan warna pada motif yang lebih gelap. Namun warna kuning pudar berjaya menonjolkan warna gelap pada motif yang nampak seakan berada di hadapan dan menonjol.
Reka corak yang digunakan pada batik masih merujuk kepada motif-motif tradisi sekaligus mengekalkan keaslian dan keunikkan dalam konteks olahan dan susunan tradisional.
3.1.3 Interpretasi
Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Pihak kerajaan menggalakkan atau mewajibkan kakitangan awam memakai pakaian batik pada setiap hari khamis menyemarakkan lagi penggunaannya drastik.
Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
3.1.4 Penilaian
Ditinjau dari bahan yang digunakan dan cara pembuatan sample kain batik sarung yang dikaji masih mengekalkan keaslian dan keunikan dalam konteks olahan dan susunan tradisional. Namun kini, industri batik tidak hanya bertumpu pada batik sarung yang dipakai kaum wanita dan nelayan ketika turun ke laut, malah ia telah bervariasi dan berinovasi; dari kain tradisional biasa dan terbilang murah, hingga yang eksklusif dengan harga yang sangat mahal. Namun demikian, seni batik tetap dihargai sebagai bentuk kesenian yang anggun dan bermutu nilainya.
3.2 Songket
3.2.1 Menggambar


















Rajah 2: Sample dan rupa bentuk kain songket yang dikaji

Kain songket yang dipilih sebagai subjek kajian ialah songket Terengganu yang penulis miliki. Pada gambar arajah di atas dapat dilihat reka bentuknya masih mengekalkan reka letak tradisional. Corak, motif, teknik dan warna juga masih mengekalkan elemen warisan tradisional.
3.2.2 Analisa
Seperti analisa pada kain batik sarung di atas, kain songket yang dikaji memaparkan tiga elemen yang boleh termasuklah corak, motif dan warna.
Keseluruhan corak pada kain sampin di atas menggunakan susunan corak terancang pada.. Motif yang digunakan terdiri daripada motif flora dan geometri. Motif flora dapat dilihat pada bahagian kepala dan kaki kain. Motif geometri pula dapat dilihat pada bahagian kepala dan badan kain. Warna benang yang digunakan pada bahagian tanah ialah hitam manakal untuk bahagian motifnya pula menggunakan benang berwarna emas. Warna latar atau tanah yang gelap menjadikan warna terang motif pada kain songket lebih terserlah.
3.2.3 Interpretasi
Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.
Setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.
3.2.4 Penilaian
Daripada bahan yang digunakan dan cara pembuatan, sample kain songket yang dikaji masih mengekalkan keaslian dan keunikan olahan dan susunan tradisional. Harga yang ditawarkan untuk kain songket kehalusan motif dan bahan yang digunakan. Industri songket selalunya diusahakan di rumah-rumah secara tradisi dan bukannya secara komersil. Namun demikian, seni songket menjadi hasil kraf tradisi yang dihargai sebagai bentuk kesenian yang anggun dan cukup tinggi estetik nilainya.
3.0 RUMUSAN
Sudah menjadi lumrah setiap insan sukakan sesuatu yang indah dan cantik. Sesuatu yang indah itu mempunyai ‘seni’ yang tersendiri dan seni yang paling indah ialah ‘hanya’ yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. dan kita, tanpa disedari memang diselubungi oleh seni yang indah itu dalam kehidupan seharian.

Memang tidak pernah terfikir oleh kita bahawa nenek moyang kita dahulu telah memahami dan menghayati ‘seni’ yang dihasilkan oleh mereka khususnya seni batik dan songket ternukil dari deria kreativiti serta bakat semulajadi yang dianugerahkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Kehalusan dan keunikan keaslian reka bentuk yang diilhamkan melalui ide dari alam semesta ciptaan Tuhan merupakan satu hasil kreatif yang akan menjadi khazanah ‘seni’ yang tidak ternilai.
Keaslian ‘pereka bentuk’ istimewa ini tidak dapat dinilai harganya secara khusus. Cetusan idea yang diluahkan terus menjadi satu visual yang sungguh ekspresif dan unik hinggakan ianya menjadi satu bahan komoditi ‘seni’ yang berharga.
Kehalusan reka bentuk dan buatan kain batik dan songket bukan sahaja melambangkan kekayaan khazanah seni tekstil Melayu tradisional, malah ia adalah sebagai satu penggerak idea dan pemangkin kepada pereka-pereka tekstil generasi kini, khususnya generasi kini yang sedang mendalami selok-belok seni ini.































Rujukan

Abdul Ghafar, Mohamad Najib. (1999). Penyelidikan Pendidikan. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Ahmad Shariff, Z.A., Amin, P., & Haji Omar, F. (1992). Glosari Seni Lukis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku Sumber Guru. (1998). Pendidikan Seni KBSR. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Glosari Seni Lukis: Bahasa Inggeris-Huraian-Bahasa Melayu, Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris. Cetakan Kedua, Tahun 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hj. Abdullah, Pauziah. (1983). Sejarah Perusahaan Batik. Dalam Warisan Kelantan II. Kelantan: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. (2003). Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kamus Dewan. Edisi Baru, tahun 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Zaihidee Hj Arshad. (2010). Modul OUM HBAE2103 Corak dan Rekaan. Cetakan 8. Selangor: Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Ragans, Rosalind. (2005) Critiquing the Artwork. In Artalks. Fourth Edition. United States: McGraw-Hill.

www.malaysiana.pnm.my

www.kenalkraftradisional.blogspot.com

www.batikcooleststsetia.blogspot.com/2010/12/batik-canting_8255.html

No comments: